Pasaraya Kito buka cawangan di Pahi, tawar konsep moden

LocalBusiness & Finance
12 Mar 2026 • 1:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Barisan pengurusan dan tetamu bergambar semasa sesi perasmian.Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
image is not available
Teik Ee (kiri) mengiringi Hilmi (dua dari kiri) melihat sayur-sayuran di Pasaraya Kito. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KUALA KRAI – Pembukaan pasar raya baharu, Pasaraya Kito cawangan Pahi di sini bakal memudahkan urusan penduduk sekitar mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian selain menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih selesa menerusi konsep moden.

Terletak di laluan strategik yang menghubungkan Kota Bharu dan Gua Musang, lokasi pasar raya itu dilihat berpotensi menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat, malah pengguna yang melalui kawasan tersebut untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Pengarah Pasaraya Kito, Leong Teik Ee berkata, kedudukan premis yang berada di laluan utama berkenaan memudahkan pelanggan dari pelbagai kawasan termasuk daerah bersebelahan iaitu Gua Musang singgah membeli barangan tanpa perlu menuju ke pusat bandar lain.

**media[3461071]**

Menurutnya, faktor lokasi selain perkembangan kawasan perumahan berhampiran turut menjadikan pasar raya tersebut berpotensi menarik kehadiran pelanggan setiap hari.

“Selain penduduk sekitar, kawasan ini juga berhampiran hospital dan terdapat banyak inap desa yang sering menerima kunjungan pengunjung luar.

“Situasi itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada keluarga pesakit atau pelancong yang menginap di inap desa berhampiran untuk mendapatkan barangan keperluan dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Raya Kito di sini pada Khamis.

Hadir merasmikan majlis, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Teik Ee berkata, pasar raya berkenaan merupakan cawangan kedua rangkaian Pasaraya Kito di bawah anak syarikat Kumpulan Billion yang memberi tumpuan kepada penjualan barangan runcit dan basah.

Tambahnya, berbanding cawangan pertama, premis baharu itu menampilkan reka bentuk yang lebih moden dengan susun atur ruang yang lebih kemas dan selesa bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.

“Antara kelainan di sini ialah ruang pasar segar yang lebih luas dengan penawaran pelbagai produk makanan segar bagi memenuhi keperluan pengguna.

“Kami juga menyediakan pelbagai barangan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran dengan harga kompetitif bagi memastikan pelanggan memperoleh pilihan yang lebih banyak pada harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam masa sama, pasar raya itu turut memperkenalkan kemudahan kaunter bayaran sendiri bagi memudahkan pelanggan yang membeli barangan dalam kuantiti kecil membuat pembayaran dengan lebih pantas menggunakan kad debit atau e-dompet.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan santan segar yang disediakan menerusi mesin khas dengan bekalan daripada pembekal yang mempunyai sijil halal dan sentiasa diperbaharui bagi memastikan kualiti produk terjamin.

Beliau berkata, pihaknya optimis kehadiran pasar raya berkenaan mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat termasuk pekerjaan kepada ramai anak muda selain menjadi antara destinasi membeli-belah baharu di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan potensi kawasan ini, kami menyasarkan lebih 10,000 transaksi pelanggan sebulan,” katanya.