Pasca banjir johor: AMK hantar 150 sukarelawan

LocalPolitics
18 Mar 2023 • 12:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas di Johor menerusi Misi Banjir Khidmat Malaysia ke negeri itu, dengan menggerakkan 150 sukarelawannya.

Majlis pelepasan misi pasca banjir itu disempurnakan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Sebagai simbolik pelepasan misi bantuan itu, Anwar menyerahkan bendera Johor dan bendera misi kepada Timbalan Ketua Penerangan AMK Nabil Halimi, merangkap Ketua Koordinator Khidmat Untuk Malaysia.

Majlis turut disaksikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua AMK Adam Adli Abd Halim.

Anwar, semalam mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor, dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara berkenaan, dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang membincangkan mengenai usaha untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut.

Anwar berkata secara keseluruhan, mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 82,831 orang dan seramai 26,879 mangsa masih berada di 102 PPS. - Bernama