Pasport 10 tahun kekal, tambahan 6 bulan dihentikan

LocalTravel
13 Aug 2026 • 5:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pasport 10 tahun kekal, tambahan 6 bulan dihentikan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan pelaksanaan pasport Malaysia tempoh sah laku 10 tahun tetal diteruskan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.

Sebaliknya, Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasport yang hanya mempunyai tambahan tempoh melebihi 10 tahun dihentikan seketika berikutan masalah pada sistem syarikat penerbangan.

Beliau berkata, tambahan tempoh sehingga enam bulan sebelum ini diberikan kepada pemohon yang masih mempunyai baki tempoh sah laku pasport lama melebihi enam bulan ketika membuat pembaharuan.

“Apa yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun itu. Maksudnya di sini, ada pembaharuan pasport yang untuk 10 tahun kita bagi tambahan enam bulan. Kita mengambil kira baki pasport mereka yang sebelum dia tukar itu melebihi enam bulan. Jadi supaya tidak merugikan rakyat Malaysia yang ada baki banyak lagi itu, kita bagilah tambahan enam bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, pemberian tambahan tempoh itu menimbulkan kesulitan apabila sistem yang digunakan syarikat penerbangan tidak menyokong tempoh sah laku pasport melebihi 10 tahun.

Zakaria berkata, pihaknya mengambil tindakan menawarkan penggantian secara percuma kepada pemegang pasport yang sudah dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.

Menurutnya, pemegang pasport yang dikeluarkan dengan tempoh sah laku genap 10 tahun tidak berdepan masalah untuk melakukan perjalanan.

“Penjelasan ini sekali gus menolak kekeliruan bahawa pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun tidak diterima negara asing. Sebaliknya isu berkenaan berpunca daripada ketidakserasian sistem syarikat penerbangan dengan tempoh sah laku pasport yang melebihi 10 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pasport 10 tahun kekal, tambahan 6 bulan dihentikan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved