hamden28/09/2026 - 17:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept - Pasport Malaysia kini menduduki tempat kedua di dunia dalam Kedudukan Global Indeks Pasport 2026, meningkat daripada tempat ketiga pada tahun lalu.
Jabatan Imigresen berkata, pencapaian itu mencerminkan kekuatan dan penerimaan pasport Malaysia di peringkat antarabangsa, selain memberikan pemegangnya akses perjalanan ke 175 destinasi di seluruh dunia.
"Berdasarkan penarafan berkenaan, sebanyak 129 destinasi boleh dikunjungi tanpa visa, manakala 46 destinasi menawarkan visa semasa ketibaan.
"Sebanyak 23 destinasi lain pula masih memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa sebelum melakukan perjalanan," katanya dalam hebahan menerusi media sosial jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, Kedudukan Global Indeks Pasport 2026 merekodkan pasport Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat pertama, diikuti Singapura dan Malaysia di tempat kedua.
Pasport Sepanyol pula menduduki tempat ketiga, manakala 16 negara lain termasuk Belgium, Denmark, Jerman, Sweden, Itali, Switzerland, Austria dan Norway berkongsi tempat keempat.
Pasport Malaysia baru-baru ini melalui proses penambahbaikan apabila versi versi baharu dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan dan pilihan tempoh sah laku selama 10 tahun.P
Menurut Kementerian Dalam Negeri, pengenalan pasport struktur baharu itu merupakan satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, di samping memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat.
Pengenalan pasport 10 tahun pula dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara. - DagangNews.com
