
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata peningkatan peruntukan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap kepelbagaian agama.
Beliau berkata ia juga mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor dalam membangunkan keperluan semua komuniti agama di Sabah secara inklusif dan saksama.
“Peruntukan yang ditingkatkan kepada RM90 juta ini merupakan manifestasi komitmen kukuh Kerajaan Sabah bagi memastikan keperluan pembangunan dan kebajikan semua penganut agama diberi perhatian,” katanya selepas menghadiri sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Lok Kawi, Ahad.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata penghormatan terhadap perayaan keagamaan dan kebudayaan yang disambut oleh pelbagai kaum dan agama di Malaysia merupakan asas penting dalam mempertahankan Persekutuan, khususnya di Sabah yang sekian lama menjadi contoh toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Saya yakin dengan menghormati kepelbagaian ini, kita dapat memperkukuh perpaduan nasional dan terus mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama.
“Saya percaya inilah perwujudan kepelbagaian kaum di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya.
Ewon berkata sebagai seorang penganut Kristian, beliau kerap menghadiri upacara keagamaan di gereja-gereja di kawasan yang diwakilinya, sama ada di Penampang atau Kadamaian dan mengambil peluang untuk mendengar keperluan mereka.
“Terdahulu, saya berada di Kg Sugud bukan sahaja untuk menghadiri upacara keagamaan tetapi juga untuk mendengar keperluan gereja.
“Mereka (pihak pengurusan gereja) memaklumkan kepada saya dan Datuk Donald Peter Mojuntin (Adun Moyog) mengenai keperluan untuk meluaskan ruang gereja,” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau memperuntukkan RM150,000 kepada gereja berkenaan bagi pembinaan kawasan tempat letak kenderaan konkrit.
“Saya telah melawat tapak projek bagi melihat pelaksanaannya dan maklum balas daripada jemaah sangat positif,” katanya.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai menekankan kepentingan mempamerkan perpaduan dan keterangkuman walaupun terdapat perbezaan agama, sambil menegaskan bahawa perpaduan ini merupakan identiti Sabah.
“Ia bukan sekadar toleransi, tetapi meraikan sumbangan setiap komuniti dan bagaimana elemen-elemen yang pelbagai ini secara kolektif mengukuhkan fabrik sosial Sabah.
“Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang aman, malah menjadikan Sabah destinasi menarik kepada pelancong yang ingin mengalami gabungan budaya dan tradisi yang jarang ditemui,” katanya.
Beliau menambah walaupun komuniti India di Sabah adalah kecil, penghormatan kerajaan terhadap kehadiran mereka adalah amat penting.
“Kepelbagaian agama, etnik dan budaya di Sabah perlu dipelihara kerana ia merupakan kekuatan negeri ini,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.

