
Pasukan tentera Israel menyerbu dua buah sekolah di kampung Burqa, barat laut Nablus di Tebing Barat yang diduduki pada Rabu dan bertindak memaksa barisan guru mengosongkan bangunan sekolah berkenaan, menurut seorang pegawai tempatan.
Ahli majlis tempatan Burqa, Sami Daghlas memaklumkan kepada Agensi Anadolu bahawa tentera Israel menceroboh masuk ke kampung tersebut, menutup beberapa jalan utama sebelum menyerbu dua buah sekolah lelaki—masing-masing sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah—lalu mengarahkan para guru berpindah keluar.
Menurut beliau, serbuan tersebut berlaku ketika sesi persekolahan sedang berlangsung dengan kehadiran guru serta pelajar di dalam kawasan sekolah, sambil menambah bahawa pasukan polis Israel mendakwa kononnya mereka telah dibaling dengan batu.
Daghlas berkata pasukan tentera Israel memasuki perkarangan sekolah sewaktu perhimpunan pagi dijalankan dan terus berkawal di kawasan sekitar sementara ibu bapa tiba untuk menjemput anak-anak mereka pulang. Pasukan keselamatan itu turut menutup laluan pintu masuk utama kampung berkenaan dengan mendirikan pusat pemeriksaan tentera.
Beliau menjelaskan bahawa tentera Israel sememangnya kerap menyerbu kedua-dua sekolah terbabit dengan alasan mendakwa para pelajar melontar batu ke arah kenderaan Israel yang melalui jalan berhampiran.
Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Media Tahanan Palestin menerusi satu kenyataan mendedahkan bahawa pasukan Israel telah menahan seramai 10 rakyat Palestin, termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dalam beberapa siri serbuan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Tangkapan tersebut tertumpu di wilayah selatan Hebron, yang menyaksikan empat rakyat Palestin ditahan ketika tentera Israel menyerbu kediaman penduduk di bandar al-Shuyukh dan kampung Wadi al-Shajna. Menurut pejabat berkenaan, operasi serbuan itu turut disertai dengan tindakan menggeledah rumah serta serangan fizikal terhadap penduduk.
Pejabat itu menegaskan bahawa kempen penangkapan tersebut—yang diiringi pencerobohan kediaman, penggeledahan serta kekerasan fizikal—merupakan sebahagian daripada dasar tekanan dan penyasaran berterusan terhadap rakyat Palestin, termasuk golongan kanak-kanak.
Sejak Israel melancarkan perang genosid ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram Zionis terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka terus meningkat secara mendadak di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Berdasarkan perangkaan pihak berkuasa Palestin, siri serangan berkenaan telah meragut nyawa lebih 1,220 rakyat Palestin dan mencederakan sekitar 13,750 yang lain.
Sementara itu, institusi hal ehwal tahanan Palestin merekodkan lebih daripada 26,000 kes tangkapan di Tebing Barat yang diduduki sepanjang tempoh antara bermulanya perang genosid tersebut hingga 12 Oktober lalu, termasuk individu yang kemudiannya dibebaskan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)




