
Pasukan Kebangsaan Tak Terlibat Isu Dokumentasi Pemain – CEO
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam sebarang isu dokumentasi pemain-pemain warisan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi sidang media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat di Petaling Jaya.
“Seperti yang telah saya nyatakan, Pasukan Kebangsaan menumpukan kepada strategi dan prestasi. Kami bersifat taktikal dan tidak terlibat dalam kerja-kerja dokumentasi.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, dengan penuh keterbukaan, penglibatan kami sebenarnya tertumpu kepada dua bahagian utama.
“Pertama, kami berbincang dengan FAM mengenai kem latihan yang akan datang. Kami menerima taklimat dan maklumat terkini mengenai pemain-pemain berpotensi yang akan dinaturalisasikan. Jadi, saya dan Peter (Ketua Jurulatih Kebangsaan) ambil maklum pemain mana yang sedang diusahakan oleh FAM bersama pihak kerajaan dari segi dokumentasi dan pendaftaran.
“Selain daripada itu, kami tidak terlibat langsung dalam sebarang urusan dokumentasi dan pendaftaran,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selepas pendaftaran dan dokumentasi selesai, mereka akan menerima dokumen yang mengesahkan bahawa pemain boleh bermain bersama Pasukan Kebangsaan.
“Saya akan duduk berbincang dengan Peter untuk menilai pemain-pemain naturalisasi baharu sebagai sebahagian daripada perancangan perlawanan yang akan datang. Jadi itulah sebenarnya peranan Pasukan Kebangsaan dalam proses naturalisasi ini, saya rasa perkara ini penting untuk dijelaskan,” katanya.
Rob juga menjelaskan sebagai CEO Pasukan Kebangsaan, isu dokumentasi ini memberi kesan secara langsung kepada pihaknya dan ketika ini beliau berperanan untuk melindungi para pemain.
“Saya sedar bahawa kami perlu melindungi para pemain. Mereka kini mewakili Malaysia, mereka ialah rakyat Malaysia dan menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi mereka serta menjaga integriti Pasukan Kebangsaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, digantung daripada tugasnya serta-merta susulan isu terbabit.
Perkara terbabit diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Sivasundaram, dalam sidang media yang sama.
Sumber: Astro Arena
The post Pasukan Kebangsaan Tak Terlibat Isu Dokumentasi Pemain – CEO appeared first on Siakap Keli.

