Pasukan kecemasan ditubuh di Bingkor

9 Sep 2025 • 1:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KENINGAU: Adun Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin menubuhkan satu pasukan kecemasan bagi membantu penduduk di kawasan Bingkor yang terkesan akibat banjir pada petang Ahad.

Pasukan seramai 30 orang itu terdiri daripada staf dan anggota Pejabat Adun Bingkor, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor, Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau serta Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor. Ia diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred bersama Ketua Staf Pejabat Bingkor, Diana Basir.

Menurut Junior, hujan lebat mengakibatkan beberapa kampung dinaiki air sehingga melimpahi rumah penduduk, sawah padi serta merosakkan jalan kampung, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan itu akan bergerak dari kampung ke kampung bagi mengesan rumah dan penduduk terjejas, dengan bantuan awal berupa makanan dan minuman diagihkan kepada keluarga terbabit.

“Bantuan seterusnya akan diberikan selepas menerima laporan terperinci daripada pemimpin akar umbi,” katanya.

Robert, yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, turut menzahirkan simpati terhadap mangsa banjir dan memberi jaminan akan terus turun padang menyalurkan bantuan sewajarnya.

“Saya telah mengarahkan semua kakitangan menemui penduduk yang terjejas dan menghulurkan bantuan termampu. Saya juga meminta pihak berkaitan mempercepatkan kerja-kerja membaiki jalan kampung dan tebing sungai yang rosak kerana kemudahan ini amat penting,” jelasnya.

Antara yang terjejas termasuk sawah padi di Kampung Merampong, dua jambatan sementara di Jalan Utama Mukim Bunga Raya, Jalan Baginda-SK Binaong dan Jalan Tebasan, selain beberapa rumah penduduk.

Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Tangkongan, Kampung Liau Laut, Kampung Buang Sayang Bingkor, Kampung Labak Baru dan Kampung Tigot.