Pasukan Khas Ditubuh Siasat Kes Samun Akhyar Rashid - Polis

5 May 2024 • 4:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor. gambar BERNAMA

KUALA TERENGGANU - Polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun pemain bola sepak Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek kejadian itu yang dipercayai lebih daripada dua orang.

"Polis juga telah membuat pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit, dua saksi juga dipanggil membantu siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun, Azli berkata, setakat ini belum ada maklumat yang dapat membantu mengesan suspek.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menularkannya di media sosial bagi mengelak menganggu siasatan.

Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun pada Khamis lalu.

Sementara itu, bekas Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd Khairi Khairudin dilantik Ketua Polis Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang akan bertukar ke NADMA.

Mohd Khairi berkata, beliau bertekad untuk mengekalkan keamanan dan memastikan kadar indeks jenayah yang rendah di Terengganu, selain memperkukuh kerjasama serta jaringan hubungan dengan masyarakat.

"Saya juga akan menggunakan pengalaman ketika di NADMA untuk menguruskan bencana banjir di Terengganu," katanya. - BERNAMA