Pasukan Liga M disaran guna ‘Pom Pom Girl’ untuk tarik penyokong ke stadium

LocalFootball
4 Feb 2025 • 9:35 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) disarankan mempertimbangkan elemen hiburan seperti pasukan sorak atau ‘pom pom girl’ sebagai tarikan tambahan bagi meningkatkan kehadiran penyokong ke stadium, sebagaimana yang dipraktikkan dalam beberapa sukan di Amerika Syarikat (AS).

Pensyarah Kanan Fakulti Sukan & Sains Eksesais Universiti Malaya (UM), Dr. Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berpendapat bahawa langkah itu boleh membantu mewujudkan suasana lebih meriah, sekali gus menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan perlawanan secara langsung.

“Saya melihat apa yang dilakukan JDT (Johor Darul Ta’zim) yang membuat cabutan bertuah sebagai inisiatif bijak dalam usaha menarik minat penyokong lebih ramai datang ke stadium.

“Sebenarnya pelbagai aktiviti boleh dilakukan sebelum, ketika dan sesudah perlawanan.

“Seperti contoh di AS, kalau kita tengok perlawanan dalam American Football, Amerika, NBA atau Baseball akan ada persembahan artis atau pasukan sorak.

“Kaedah sama pun boleh cuba di sini. Mungkin pasukan sorak akrobatik terdiri daripada pasukan wanita sekolah membuat persembahan sebelum perlawanan dan ketika waktu rehat.

“Cara itu mungkin baru di Malaysia tapi di luar negara ia sudah biasa. Tapi persembahan perlulah mengikut budaya dan cara rakyat kita yang boleh menerimanya.

“Saya fikir tidak salah kita mencuba dan mungkin ia boleh menarik minat penyokong yang hadir dan kekal di stadium sehingga habis perlawanan,” katanya kepada Arena Metro.

Kurang 10,000 penyokong hadir

Sebelum ini, kehadiran penonton ke stadium menjadi kebimbangan bagi kebanyakan pasukan Liga M, terutama dalam saingan Liga Super. Malah, aksi minggu ke-19 menunjukkan kurang daripada 10,000 penyokong hadir di lima venue perlawanan.

Namun, situasi berbeza dapat dilihat di Stadium Sultan Ibrahim ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC, di mana cabutan bertuah berupa motosikal serta hadiah lain berjaya menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

“Perlawanan itu ramai bukan saja disebabkan cabutan bertuah saja, tetapi ‘vibe’ separuh akhir dan ia berbeza dengan ‘vibe’ liga. Tapi usaha JDT itu bagus dan perlu dipuji.

“Saya ingin sarankan agar setiap kelab mengadakan aktiviti di luar stadium bersama penaja. Secara tak langsung, ia akan mewujudkan hubungan baik antara penyokong dan penaja, yang pastinya gembira datang ke stadium,” kata Nasnoor lagi.