Pasukan Pancaragam Cilik Beri Persembahan Bangkitkan Semangat Patriotisme

27 Jul 2022 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pancaragam cilik bakal mengalunkan lagu-lagu patriotik di hadapan Menara Tulus di sini bagi membangkitkan semangat patriotisme Keluarga Malaysia pada program Berjalan Teguh Bersama, Sabtu ini. - Gambar Bernama

Pancaragam cilik yang dibarisi 38 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) akan mengalunkan lagu-lagu patriotik di hadapan Menara Tulus di sini bagi membangkitkan semangat patriotisme Keluarga Malaysia pada program Berjalan Teguh Bersama, Sabtu ini.

image is not available
Muhammad Akmal Mohd Yusuf. - Gambar Bernama

Guru muzik SK Putrajaya Presint 11 (1) Muhammad Akmal Mohd Yusuf berkata pasukan pancaragam sekolah  itu bakal mendendangkan lagu-lagu patriotik seperti ‘Inilah Barisan Kita’ dan ‘Jalur Gemilang’ yang pasti meniupkan semangat patriotisme Keluarga Malaysia.

“Lagu-lagu patriotik ini sudah tentu membangkitkan semangat patriotisme kerana lagu itu diketahui umum dan mempunyai maksud mendalam. Lagi menarik, persembahan dilakukan sekumpulan murid sekolah rendah,” katanya kepada Bernama.

Persembahan pasukan tersebut akan melibatkan murid tahun empat hingga enam yang terdiri daripada 20 lelaki dan 18 perempuan, di hadapan Menara Tulus yang akan menjadi antara kawasan yang dilalui peserta Berjalan Teguh Bersama.

“Ini satu cabaran buat pasukan pancaragam sekolah kerana ini kali pertama kami lakukan persembahan di acara besar… ia satu penghormatan buat kami.

“Kami akan lakukan sebaik mungkin, kami berlatih setiap petang untuk beri persembahan terbaik untuk penonton nanti,” kata Muhammad Akmal yang merupakan penyelaras pasukan pancaragam itu.

image is not available
Gambar ihsan Bernama

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Rohana Abdul Manaf berkata murid yang menyertai pasukan pancaragam sekolah amat teruja apabila mengetahui yang mereka akan buat persembahan pada program yang diadakan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.

Dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertai aktiviti berjalan kaki bersama pemimpin negara.

“Saya harap mereka dapat berikan persembahan yang terbaik dan menghiburkan penonton dan peserta Berjalan Teguh Bersama,” kata Rohana. - Bernama

View Original Article