Pasukan pembelaan ibu Zayn Rayyan tutup kes, keputusan 31 Oktober

LocalPolitics
5 Aug 2025 • 8:52 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan pertuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, menutup kesnya hari ini selepas memanggil lima saksi bagi memberi keterangan.

Menurut peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 30, saksi yang selesai memberi keterangan hari ini adalah doktor pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli, 49.

"Pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain dan pihak kami (pembelaan) menutup kes hari ini," kata peguam itu, lapor Bernama.

Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 8 September untuk hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak, manakala 22 September bagi hujahan balas sebelum mahkamah membuat keputusan pada akhir kes pembelaan 31 Oktober ini sama ada untuk mensabitkan atau membebaskan Ismanira daripada pertuduhan berkenaan.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengarahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin membela diri atas tuduhan pengabaian kanak-kanak autistik itu sementara bapanya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan sama.

Hakim Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf namun gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Pada 13 Jun lalu, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun, di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember sehingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Dr Noor Aishah Rosli berkata mesej perbualan WhatsApp yang menyatakan 'haishhh stress nak mati', 'budak ni elok je takde pun aku pukul pun sebenarnya aku tepuk punggung masing2 je tapi aku ckp perkataan belasah sbb aku tgah geram dan marah sgt2', merupakan ayat-ayat normal yang dialami oleh seorang ibu yang menjaga anak autistik.

"Kita tidak boleh dari sudut psikologi ia sebagai satu niat untuk melakukan jenayah, kalau kita tanya sesiapa pun ada sahaja mesej kita kepada pasangan kita menggunakan ayat kasar, tetapi niat itu tiada.

"Jadi di sini adalah luahan (Ismanira) yang sayangkan anak itu dan sahaja nak lepas dalam teks (mesej WhatsApp) pada suami yang sedang bekerja ketika itu," kata saksi pembelaan kelima itu semasa pemeriksaan utama oleh peguam Haresh.

Dr Noor Aishah berkata mesej dihantar Ismanira kepada Zaim Ikhwan semata-mata luahan emosi, gurauan, tidak serius serta tidak menunjukkan niat jahat.

"Saya dapati ini adalah perbualan menunjukkan perhubungan suami isteri. Walaupun kita lihat perkataan itu mungkin agak kasar tetapi ia hanyalah bersifat surface … atas permukaan sahaja. Hanya cakap-cakap kosong yang tidak serius sekadar untuk meluahkan emosi,” katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, turut mewakili Ismanira peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. - 5 Ogos, 2025