Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Travel
9 May 2026 • 7:12 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Dalam kegembiraan jemaah menunaikan ibadah haji, ada di antara mereka yang mungkin berdepan kesukaran mencari arah atau tersalah jalan. Tidak hairan, kerana kawasan di Tanah Suci luas dan dipenuhi lautan manusia.

Tambahan pula, kebanyakan jemaah terutamanya warga emas pertama kali menunaikan haji dan tidak biasa dengan landskap sekeliling.

Disebabkan itu, Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan pasukan rondaan khas bagi memastikan jemaah haji mendapat panduan serta arah tuju yang betul agar mereka boleh melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Peranan pasukan Semut Hitam

Pasukan yang turut dikenali sebagai Semut Hitam itu diketuai oleh Ahmad Fauzee Mohamad Salleh, yang bertanggungjawab menjaga jemaah di sekitar Masjidil Haram, Mekah.

Menurutnya, pasukan Semut Hitam akan membantu jemaah yang tersasar atau menuju ke arah yang tidak sepatutnya.

"Kami juga berperanan sebagai pasukan bantuan awal sekiranya ada jemaah haji yang tercedera, sakit ataupun berlaku kemalangan yang tidak dijangka.

"Kami akan pergi ke lokasi selepas menerima laporan dan membawa jemaah tersebut sama ada ke maktab ataupun hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Baca juga:

Pasukannya juga akan bertugas dia dua zon utama iaitu Zon A yang melibatkan tiga bangunan penginapan jemaah haji dan dua lagi penginapan berada di Zon B.

Mereka juga mempunyai enam pos kawalan utama iaitu Marwah, Babus Salam, Ajiad, Misfalah, Hafair dan Masjid Baru.

Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu
Ahmad Fauzee (kanan)

Pasukan itu perlu memastikan jemaah Zon B tidak pergi ke Zon A dan sebaliknya. Terdapat dua checkpoint utama yang perlu diketahui iaitu bagi Zon B, jemaah akan melalui Marwah, manakala Zon A melalui Hafair.

"Bagaimanapun, Masjid Baru masih belum dibuka sepenuhnya," katanya lagi.

Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu
Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Terdiri daripada 14 hingga 15 petugas, mereka juga akan turut membantu di kawasan bas bagi memastikan jemaah yang tiba diarahkan terus ke kawasan Masjidil Haram.

Sementara itu, jemaah yang pulang pula akan disusun dengan baik supaya kawasan bas tidak sesak atau berlaku keadaan berpusu-pusu.

Anggota Semut Hitam juga akan ditempatkan di setiap sektor laluan jemaah terutama ketika menuju ke Mina dan melontar di Jamrah.

Terdiri daripada anggota Polis Bantuan

Untuk pengetahuan, pasukan ini juga terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji.

Justeru, mereka sememangnya terlatih dan menjadi barisan hadapan untuk berhadapan, membantu dan memberikan maklumat yang sepatutnya kepada jemaah haji.

Dalam sehari, mereka mempunyai tiga syif dan akan bergilir antara bertugas dan cuti sehingga sebelum wukuf.

Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu
Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

Syif pertama bermula pada jam 7 pagi hingga 2 petang, syif kedua pula dari 2 petang hingga 10 malam dan syif ketiga pada 10 malam hingga 7 pagi.

"Selepas wukuf, kami akan kembali ke Mekah untuk membantu proses seterusnya sehingga selesai ibadah haji," kata Fauzee.

Jadi yang terawal urus jenazah jemaah haji

Ketua Unit Rondaan itu turut berkongsi pengalaman yang paling memberi kesan buatnya iaitu membantu mengurus jemaah yang meninggal dunia.

"Pada hari Jumaat di Masjidil Haram, keadaan sangat sesak kerana semua jemaah berpusu-pusu masuk untuk solat.

"Ada seorang jemaah jatuh sakit berhampiran waktu solat dan kami sukar untuk sampai kepadanya kerana terlalu sesak.

"Selepas solat selesai, kami berjaya sampai dan menjadi antara pasukan awal yang membantu menguruskan jenazah tersebut sehingga pihak perubatan dan pihak berkaitan tiba," ujarnya kepada SK.

Sentiasa santuni jemaah dengan sebaiknya

Sebagai pasukan rondaan, mereka sentiasa bersemangat untuk menyantuni semua duyufurrahman.

Para jemaah sudah dianggap seperti ibu bapa dan keluarga sendiri. Jika ternampak ada jemaah yang tersasar, terpisah suami isteri atau menghadapi masalah, mereka akan terus rasa terpanggil untuk membantu.

Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

"Biasanya kami akan nampak jemaah yang bersendirian, gelisah, berjalan tidak tentu arah atau duduk seorang diri di tepi jalan.

"Kami akan menghampiri mereka dan bertanya masalah yang dihadapi.

"Kadang-kadang mereka terpisah daripada rakan sebilik ketika umrah. Kami akan periksa Nusuk atau kad mereka, lihat maktab dan warna lanyard sebelum membantu mengarahkan mereka ke zon yang betul.

"Kami sentiasa memantau jemaah di sekitar Masjidil Haram supaya mereka tidak tersasar," kata Fauzee.

Malah, mereka juga turut menyediakan selipar dan bantuan asas lain untuk jemaah yang memerlukan.

Waktu malam paling mencabar

Selama bertugas sebagai peronda, waktu yang paling mencabar untuk mereka adalah ketika waktu malam kerana ramai jemaah melaksanakan umrah wajib.

Bagaimanapun, Fauzee tidak menafikan bahawa waktu siang juga sangat mencabar kerana cuaca yang terlalu panas. Suhu boleh mencecah sehingga 41 darjah Celcius.

"Saya minta anggota berlindung di kawasan berbumbung ketika cuaca panas dan minum air zamzam secukupnya supaya tidak mengalami dehidrasi," jelasnya.

Ujarnya, walaupun bilangan petugas terhad, mereka tetap cuba melakukan yang terbaik untuk membantu jemaah.

Image from: Pasukan Semut Hitam "Frontliner" Jemaah, Ini Peranan Mereka Yang Ramai Tak Tahu

"Saya juga minta anggota sentiasa menegur dan mendekati jemaah supaya hubungan antara petugas dan jemaah lebih rapat dan jemaah tidak takut untuk meminta bantuan.

"InshaAllah kami akan terus membantu jemaah sebaik mungkin," katanya.