PATI jadi 'orang tengah' urus bilik penginapan

16 Apr 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PATI jadi 'orang tengah' urus bilik penginapan
Pegawai imigresen menahan individu terlibat dalam serbuan di Seksyen 14 di sini pada Rabu.

SHAH ALAM - Alasan seorang lelaki warga Myanmar mahu berjumpa kawan di sebuah apartment di Seksyen 14 di sini gagal mengaburi pihak berkuasa untuk melaksanakan tangkapan terhadap dirinya yang disyaki berperanan sebagai 'orang tengah' bagi menguruskan bilik penginapan.

Tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menerusi Op Sapu pada Rabu

Lelaki itu ditahan ketika dipercayai mahu menyerahkan kunci bilik kepada pelanggan di lobi apartment servis berkenaan.

“Saya tak tahu, saya tak kerja dekat sini tuan, saya baru ini hari datang sini mahu jumpa saya punya kawan.

"Betul tuan saya tak tipu, saya kerja di Rawang,” katanya merayu untuk dilepaskan.

Bagaimanapun selepas pegawai serbuan mengajukan beberapa soalan, lelaki warga asing itu akhirnya mendakwa bekerja dengan gaji RM2,000 sebulan bagi menguruskan kemasukan pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan dijalankan bermula jam 1.15 petang.

Menurutnya, seramai empat individu diperiksa sebelum penahanan lelaki warga Myanmar berusia 34 tahun untuk tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan awal mendapati peranan suspek disyaki dengan munasabah bekerja sebagai pekerja yang menguruskan pemberian kunci dan kad akses bilik atau inap desa (homestay) yang ditempah oleh pelanggan secara dalam talian.

"Suspek dipercayai bekerja sejak Ogos tahun lalu," katanya.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengesan kegiatan yang dijalankan pendatang asing tanpa izin (PATI).