Google Pixel akan secara rasmi dilancarkan di Malaysia pada 14 Ogos depan. Penantian selama lapan tahun untuk Google menawarkan peranti mereka sejak Nexus dihentikan menerima sambutan luar biasa jika komen yang ditinggalkan oleh pembaca boleh dijadikan kayu pengukur. Tetapi adakah Pixel benar-benar berbaloi untuk dibeli? Artikel ini akan menerangkan kelebihan dan kekurangan peranti Pixel supaya pembaca boleh melakukan pilihan yang terbaik sebelum membeli.
Sokongan Perisian Selama 7 Tahun

Seperti yang kerap kali kami katakan, Samsung dan Google adalah dua syarikat yang menawarkan sokongan Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun. Dengan sokongan jangka panjang, tidak perlu risau kerentanan sekuriti tidak ditampal anda dapat menggunakan peranti untuk tempoh lebih lama. Pelaburan membeli peranti mercu yang pastinya dijual pada harga premium ini akan terasa berbaloi kerana dijamin boleh digunakan lebih laman berbanding peranti Android lain yang hanya disokong selama lima tahun sahaja.
Kemas Kini Terpantas

Kemas kini yang diberikan oleh Google adalah sepantas Apple. Sejurus selepas kemas kini Android diumumkan, anda boleh memuat turunnya pada hari yang sama. Ini adalah pengalaman sama dengan ekosistem Apple. Umum diketahui jika anda membeli telefon Android keluaran syarikat lain, penantian untuk versi Android baharu akan mengambil masa beberapa bulan dan adalah mengikut pasaran. Jika anda jenis kurang sabar untuk menunggu kemas kini, Google Pixel ialah pilihan terbaik untuk anda.
Kamera Yang Terbaik Dalam Kelas

Sejak dari generasi pertama lagi, prestasi kamera pada Google Pixel adalah yang terbaik. Walaupun tidak menggunakan sensor yang terbesar, terkini dan dengan sistem zum paling jauh sistem kamera Google kerap kali memberikan gambar yang terbaik. Bertahun lamanya Google telah menggunakan pembelajaran mesin (ML) untuk meningkatkan kualiti gambar yang diambil. Ya gambar yang diambil bukan yang “sebenar” seperti diambil menggunakan Sony Xperia 1 VI. Tetapi majoriti pengguna mahukan gambar yang diambil kelihatan sempurna dengan sekali ambil tanpa perlu melakukan suntingan terlebih dahulu.
Kurangnya Aplikasi Gendut dan Iklan

Meneruskan tema aplikasi, sistem operasi Android yang digunakan adalah paling ringan dan asli. Tiada aplikasi gendut. Tiada pengiklanan. Tiada aplikasi terpasang yang sekadar mengambil storan dalam peranti yang baru sahaja dibeli. Kami di Amanz cukup kurang gemar dengan aplikasi gendut dan pengiklanan yang wujud dalam peranti baharu. Seperti Apple, perangi Pixel adalah suci daripada aplikasi pihak ketiga yang selalunya tidak diperlukan langsung oleh pemilik.
Bukan Peranti Mercu Paling Berkuasa Di Pasaran

Bagi sebuah peranti mercu, cip Google Tensor sudah disahkan tidak setanding dengan cip Snapdragon atau Dimensity terkini. Google telah mengatakan tumpuan Tensor ialah menawarkan kemampuan AI yang tinggi dan bukan kuasa memproses terbaik di pasaran. Walaupun siri Pixel 9 kelak akan menggunakan Tensor G4 baharu, beberapa maklumat yang tertiris menunjukkan prestasinya lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 3 dan Dimensity 9300.
Tahun lalu pembeli Pixel 8 merungut peranti menjadi panas apabila memainkan permua seperti COD Mobile dan Genshin. Ia menimbulkan persoalan adalah berbaloi membeli peranti mercu dengan cip yang kurang berkuasa dan tidak begitu dioptomasi untuk gaming? Ini adalah persoalan yang sama seperti membeli peranti Huawei yang juga dijual pada harga premium tapi kuasa memproses sekadar kelas pertengahan.
Android Asas Tanpa Ciri Tambahan

Setelah bertahun menggunakan One UI, OxygenOS, ColorOS, MagicOS atau sebarang pelancar Android yang lain, berubah ke Pixel dengan Android asli boleh menyebabkan pengguna menyedari beberapa ciri hilang seperti sokongan stylus, membuat GIF automatik dan . Setiap pengeluar menambah ciri yang tiada ada pada AOSP. Jadi pembeli Pixel perlu belajar semula menggunakan Android tanpa “perisa tambahan”. Ada yang boleh membiasakan diri tetapi ramai juga yang kemudiannya kesal.
Isu Pemanasan Yang Berterusan

Cip Tensor bukan sahaja bukan yang paling berkuasa tetapi juga mempunyai isu pemanasan yang sudah dilaporkan sejak beberapa generasi. Apabila cip kurang berkuasa dipaksa menjalan permua, ia perlu bekerja keras sehingga menjadi panas. Ini seterusnya mengurangkan prestasi bateri. Sejak bertahun lamanya Pixel direka untuk pasaran tertentu yang mempunyai iklim sejuk. Isu pemanasan dilaporkan berlaku di ketika musim panas. Adakah Pixel boleh digunakan tanpa isu ini di Malaysia yang sepanjang tahun “musim panas” ? Ini akan terjawab dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.
Sokongan Pasca Pembelian Masih Samar

Sokongan pasca pembelian adalah amat penting kerana kita tidak tahu bilakah kerosakan boleh berlaku. Telefon pintar ialah keperluan harian dan ramai pelanggan inginkan perkhidmatan gantian dilakukan dalam masa satu hari sahaja. Sebab utama Pixel tidak dijual di Malaysia ialah Google tidak mempunyai pusat layanan pelanggan.
Semasa di era Google Nexus dahulu, tugas membaiki peranti di Malaysia dipegang oleh pengeluar. Nexus 6P oleh Huawei, Nexus S oleh Samsung dan Nexus 4 oleh LG. Siapa akan membaiki Pixel di Malaysia? Setakat ini hanya telko utama menawarkan prapesan kepada pelanggan. Adakah ia di bawah tanggungan telko selepas ini? Dalam hal layanan pasca pembelian, ianya masih samar di Malaysia.
