PAU 2022 Ditangguh Ke 11 Hingga 14 Januari Depan

Politics
6 Dec 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Maslan berkata, penangguhan itu berikutan tarikh asal PAU 2022 bertembung dengan cuti persekolahan. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan ke awal tahun depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penangguhan itu berikutan tarikh asal PAU 2022 bertembung dengan cuti persekolahan.

Justeru katanya, pihaknya akan menghantar notis rasmi dalam masa terdekat berhubung tarikh baharu PAU 2022, iaitu pada 11 hingga 14 Januari tahun depan.

“Oleh kerana 21 hingga 24 Disember ini waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh.

“Tarikh baharu ialah pada 11 hingga 14 Januari 2023. Harap dalam makluman tuan puan. Notis PAU 2022 akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi,” katanya menerusi ciapan di Twitter, lewat malam tadi.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 November lalu memutuskan PAU 2022 diadakan pada 21 hingga 24 Disember ini.

Bagaimanapun ia tidak membabitkan pemilihan parti.

Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) seperti ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan UMNO.

"PAU yang diadakan bulan depan bukanlah pemilihan parti. Seperti yang sedia maklum, tahun ini ada dua kali perhimpunan agung disebabkan COVID-19. Hari itu kita buat untuk tahun 2021 dan bulan depan untuk tahun ini.

"Jadi selepas PAU 2022, kita akan buat pemilihan parti pula. Kita ada tempoh enam bulan untuk pemilihan," katanya. – Getaran, 6 Disember 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved