
KUALA LUMPUR - Kematian Paus Francis hari ini bukan sahaja diratapi rakyat Vatican City, tetapi turut mendapat perhatian pemimpin luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ketinggalan menyuarakan rasa sedih atas pemergian pemimpin yang amat dihormati itu.
Perdana Menteri berkata, Jorge Mario Bergoglio, 88, akan dikenang bukan sahaja selaku paus pertama dari Amerika Selatan, tetapi juga sebagai suara moral yang menyerlahkan sifat belas kasihan, kerendahan hati dan keadilan dalam dunia yang penuh pergolakan.
Menurut Anwar, komitmen Bergoglio terhadap persefahaman antara agama, pemeliharaan alam sekitar dan martabat golongan terpinggir telah memberi kesan yang mendalam, jauh melangkaui Gereja Katolik.
“Pope Francis merupakan pendukung tegar keamanan, dan usaha beliau membina jambatan antara agama dan budaya telah meraih penghormatan ramai, termasuk dalam kalangan dunia Islam.
“Beliau bersuara dengan kejelasan moral tentang penderitaan yang amat dahsyat di Gaza, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan yang sama kepada semua mangsa kekejaman, di mana jua mereka berada,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tegas Perdana Menteri, Bergoglio juga tidak ketinggalan memperjuangkan martabat migran serta pelarian, selain menyeru masyarakat antarabangsa agar menangani penderitaan mereka dengan peri kemanusiaan dan hati nurani.
“Kehidupannya yang penuh khidmat dan kekuatan yang tenang mengingatkan kita kepada kata-kata Shakespeare: “Hidupnya penuh kelembutan, dan segala unsur dalam dirinya begitu seimbang sehingga Alam boleh berdiri dan berkata kepada seluruh dunia, ‘Inilah seorang lelaki.’”
“Secara peribadi, saya berasa amat bertuah kerana diberi penghormatan untuk mengunjungi Pope Francis pada awal perkhidmatannya di Vatican,” katanya.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Bergoglio menghidap pelbagai komplikasi kesihatan termasuk ‘krisis pernafasan seperti asma’ yang dikaitkan dengan trombositopenia.
Dilantik sebagai paus pada Mac 2013, pelantikan Bergoglio mengejutkan banyak pihak kerana faktor umur, memandangkan beliau sudah berusia 76 tahun ketika itu.
Mendiang juga mencatat sejarah sebagai paus bukan Eropah yang pertama sejak abad kelapan.
Memilih nama ‘Francis’ sebagai penghormatan kepada St. Francis of Assisi yang terkenal dengan sifat rendah hati dan belas kasihan, Bergoglio tertarik kepada kehidupan keagamaan sejak muda.
Mendiang yang dilahirkan dalam keluarga imigran Itali di Buenos Aires pada 17 Disember 1936 ditahbis sebagai paderi Jesuit pada 1969 dan berkhidmat hampir sepenuhnya di Argentina sebelum menjadi Ketua Biskop Buenos Aires pada 1998.
Bergoglio amat terkenal dengan gaya hidup sederhana, malah tidak kekok menggunakan pengangkutan awam dalam urusan seharian.
Beliau juga sejak awal pelantikan memilih untuk mendiami sebuah rumah tamu sederhana di Vatican, berbanding kehidupan serba mewah di Istana Apostolik. - Getaran, 21 April 2025


