Pavel Durov sedia berkerjasama dengan SKMM tangani isu kawal selia Telegram

4 Mar 2024 • 8:41 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Berikutan isu keselamatan mengenai Telegram, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Telegram bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ia adalah untuk memperkemas aspek kawal selia di Telegram, terutamanya untuk membanteras aktiviti scam dan perjudian di dalam platform berkenaan.

Kenyataan tersebut dinyatakan sendiri oleh pengasas yang juga merangkap Ketua Pegawai Ekskutif Telegram itu sendiri, iaitu Pavel Durov dalam satu pertemuan beliau bersama menteri tersebut di Dubai, UAE. YB Fahmi Fadzil turut berkongsikan berita baik itu menerusi laman X miliknya.

Sebelum ini, jurucakap Telegram Remi Vaughn mengatakan mereka tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan bagi tujuan politik. Dengan permakluman terbaru ini, ia menunjukkan Telegram akan mematuhi kawal selia yang ditetapkan kerajaan untuk bolehkan platform itu terus beroperasi di Malaysia pada masa akan datang.

Selain isu kawal selia, Fahmi turut menegaskan perbincangan itu memberi fokus terhadap teknologi baharu dan juga aspek kecerdasan buatan (AI), dengan ia diadakan dalam suasana positif. Pavel dikatakan turut menyatakan minat pihak mereka untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai peluang untuk kerjasama dengan kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama, Fahmi berkata dia turut menjemput pengasas Telegram itu untuk datang ke Malaysia bagi mengadakan perbincangan lebih mendalam dengan beberapa pihak lain yang terlibat.

Terdahulu, Telegram sering berada dalam situasi tegang dengan pihak berkuasa apabila digantung operasi oleh negara seperti Brazil, malah telah meninggalkan negara China, Iran, dan Russia disebabkan oleh undang-undang tempatan. Buat masa sekarang, Telegram berpengkalan di Dubai dan mengemudikan aplikasi mereka dari sana.

[Sumber: Malaymail]

Bacaan berkaitan