Pavilion REIT akan kumpul RM720 juta daripada penempatan persendirian dengan harga terbitan RM1.22 seunit

Business & Finance
18 May 2023 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pavilion REIT akan kumpul RM720 juta daripada penempatan persendirian dengan harga terbitan RM1.22 seunit

diyana

18/05/2023 - 09:31

KUALA LUMPUR 18 Mei - Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT) telah menetapkan harga terbitan peringkat pertama pelaksanaan penempatan persendirian pada RM1.22 seunit untuk mengumpul kira-kira RM720 juta.

“Harga terbitan mewakili diskaun kira-kira 6.6% kepada volum lima hari purata wajaran harga pasaran unit sehingga dan termasuk 16 Mei 2023 sebanyak RM1.31.

“Berbanding dengan proses penetapan harga dengan persetujuan penjual dan pembeli baru-baru ini, diskaun sedemikian menunjukkan cadangan nilai yang kukuh untuk pelabur,” kata Pavilion REIT dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata penempatan persendirian peringkat pertama ini dilaksanakan berikutan semua syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli (SPA) pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil telah dipenuhi.

Syarat asas SPA ialah sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah kawasan sewa bersih (NLA) Pavilion Bukit Jalil telah memulakan pengebilan sewa dengan purata jumlah sewa NLA tidak kurang daripada RM9.50 setiap kaki persegi sebulan.

“Kadar penghunian semasa lebih daripada 82% mencerminkan kedudukan pusat beli-belah itu sebagai destinasi runcit utama di pinggir bandar Bukit Jalil yang semakin berkembang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Datuk Philip Ho berkata syarikat itu teruja dengan kelebihan langganan penempatan itu yang dijangka selesai pada 1 Jun 2023.

image is not available
Datuk Philip Ho

“Ini adalah penempatan persendirian terbesar yang pernah direkodkan untuk REIT Malaysia. Pencapaian penting ini membuka jalan kepada lembaran baharu yang menarik untuk Pavilion REIT dan industri REIT Malaysia," katanya.

CIMB Investment Bank Berhad, Credit Suisse Securities (Malaysia) Sdn Bhd, Credit Suisse (Singapore) Limited dan Maybank Investment Bank Berhad merupakan koordinator global bersama dan penyelaras bersama.

AmInvestment Bank Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad adalah penyelaras bersama untuk penempatan peringkat pertama itu. -DagangNews.com

View Original Article