
PERJALANAN menaiki kereta dengan membawa haiwan peliharaan sama ada dalam jarak dekat atau jauh ketika bercuti atau keluar beriadah memerlukan kenderaan yang selesa agar haiwan tersebut berada dalam keadaan baik.
Menyedari kepentingan perkara itu, JAECOO Malaysia dengan kerjasama platform komuniti haiwan peliharaan, The Paws Collective (TPC) telah menganjurkan acara Paws N’ Drive di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini bagi memberi pengalaman kepada pemilik haiwan untuk memandu uji kenderaan tersebut.
Bukan itu sahaja, acara Paws N’ Drive yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menarik lebih 200 pencinta haiwan dalam perhimpunan unik bersama komuniti tersebut dengan pelbagai acara seperti pandu uji kenderaan bersama haiwan kesayangan, menghias beg tote dan menghasilkan rantai kunci.
Salah seorang aktivis haiwan dan pencinta kucing, Nur Nabila Najwa Azman, 29, berkata, dia sangat seronok dan teruja mengikuti acara tersebut kerana berpeluang berjumpa ramai kenalan baharu yang mempunyai minat sama.
“Acara-acara sebegini sangat bagus untuk mengeratkan lagi hubungan kami dalam komuniti pencinta kucing kerana ia menjadi titik temu yang bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan kenalan lama tetapi dapat berjumpa rakan-rakan baharu.
“Kami banyak bertukar-tukar pendapat mengenai penjagaan kucing masing-masing dan perkembangan haiwan itu kerana di kesempatan ini kami dapat berjumpa setelah sekian lama tidak bersua muka kerana kesibukan kerja,” ujarnya yang menjadi aktivis sejak lima tahun lalu dan telah menyelamatkan lebih 600 ekor kucing jalanan dalam pelbagai keadaan menyayat hati.

Salah seekor kucing yang diselamatkan oleh Nur Nabila Najwa atau lebih dikenali sebagai Sonia adalah kucing bernama Sock yang melecur dibakar oleh tiga orang lelaki di Kajang, Selangor tiga tahun lalu dan kini ia dibela oleh pelakon, Mustaqim Bahadon.
Pada acara Paws N’ Drive, Sock turut hadir bersama Mustaqim untuk turut sama mencuba memandu uji J5 EV yang direka khusus bagi memenuhi keperluan isi rumah di Malaysia yang semakin ramai memiliki haiwan peliharaan.
Menurut Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, haiwan peliharaan adalah sebahagian daripada keluarga dan ia mempengaruhi cara hidup pemiliknya, termasuklah cara mereka bergerak atau mengembara.
“Keselesaan kabin, kemudahan akses, ruang untuk keperluan haiwan peliharaan serta memastikan haiwan kekal tenang semasa dalam perjalanan adalah perkara yang sangat penting bagi pemilik-pemilik ini.
“Dengan material tempat duduk mesra haiwan peliharaan yang diperakui oleh TÜV serta ciri ‘Pet Mode’, J5 EV dibina untuk isi rumah moden yang sering membawa bersama haiwan peliharaan mereka,” ujarnya.
Tambahnya, fokus utama acara itu adalah memberi maklumat penting bagaimana reka bentuk kenderaan dapat menyokong perjalanan harian dengan haiwan peliharaan di dalam kereta.
The post Paws N’ Drive himpun komuniti pencinta haiwan appeared first on Kosmo Online.

