
KUALA LUMPUR, 31 MEI: Pavilion Selangor membawa tema perumahan dan hartanah, kelestarian alam serta pendidikan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini.
Pengarahnya Zafrullah Aris berkata tema berkenaan membolehkan orang ramai lebih mengenali fungsi dan khidmat yang ditawarkan beberapa agensi.
“Kali ini kita bawa kelainan. Kita kerjasama dengan agensi antaranya KDEB Waste Management, Worldwide, Yayasan Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.
“Menerusi langkah ini, setiap agensi dapat menerangkan lebih lanjut fungsi dan khidmat disediakan kepada rakyat. Ini memudahkan rakyat untuk tahu lebih lanjut,” katanya kepada Selangorkini.

Berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zafrullah berkata Pavilion Selangor yang dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam sejak 24 Mei hingga 2 Jun turut menawarkan pinjaman komputer dan tablet menerusi Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas).

“Untuk pesta ini kita sediakan 50 komputer dan tablet. Setakat ini kira-kira 15 peminjam sudah membawa pulang peranti terbabit dan masih banyak lagi boleh dipohon.
“Datang ke Pavilion Selangor dan buat permohonan. Sekiranya layak, pemohon boleh terus membawa pulang peranti. Tempoh pinjaman enam bulan,” katanya.

Sepintas dilancar pada Ogos 2022 bagi mengurangkan kesenjangan digital dalam kalangan pelajar dengan memberi pinjaman komputer dalam satu tempoh masa ditetapkan.

The post PBAKL: Pavilion Selangor promosi inisiatif negeri, tawar pinjaman komputer appeared first on Selangorkini.
