
KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sesi sembang santai bersama lagenda karikatur seperti Imuda menjadi tarikan utama Pavilion Selangor pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) .
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata pihaknya turut menampilkan penulis dan penerbit tempatan lain sebagai ruang berkongsi idea serta pengalaman karya yang dihasilkan mereka kepada pengunjung.
“PPAS mahu memberi ruang kepada penulis yang tidak mendapat peluang oleh syarikat penerbit besar untuk memaparkan hasil karya mereka melalui PBAKL.

“Aktiviti menarik lain yang disediakan membaca buku cerita dengan kanak-kanak dan kuiz. Selain itu, terdapat jualan pastry bersama kopi oleh usahawan tempatan di ruang bacaan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Pada masa sama, beliau memberitahu petugas Pavilion Selangor turut membuat hebahan informasi berkaitan dasar Kerajaan Negeri kepada orang ramai.
“Saya harap masyarakat mengambil peluang bertanya inisiatif disedia pentabiran negeri seperti pinjaman perniagaan, biasiswa pendidikan dan rumah mampu milik.
“Alhamdulillah sambutan menggalakkan sejak Jumaat, saya ucap terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa, individu dan anak muda yang hadir ke pesta buku ini,” ujarnya.
April lalu, Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron berkata pihaknya menjangkakan 1.9 juta pengunjung hadir ke PBAKL sepanjang 10 hari berlangsung di WTCKL.


The post PBAKL: Sembang santai bersama Imuda antara tarikan Pavilion Selangor appeared first on Selangorkini.
