PBB Beri Amaran Haba Bumi Cecah Paras Rekod

Environment
23 Mar 2026 • 4:26 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PBB Beri Amaran Haba Bumi Cecah Paras Rekod

Jumlah haba yang terperangkap di Bumi mencapai paras rekod pada 2025 dengan kesannya dijangka berlarutan selama ribuan tahun, menurut AFP yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi cuaca dan iklim PBB, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), mengesahkan bahawa 11 tahun paling panas pernah direkodkan berlaku antara 2015 hingga 2025 menerusi laporan tahunan utamanya, State of the Global Climate.

Menurut WMO, tahun lalu merupakan tahun kedua atau ketiga paling panas dalam rekod, dengan suhu global kira-kira 1.43 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata 1850 hingga 1900.

Baca juga:

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata keadaan iklim global kini berada pada tahap membimbangkan.

“Iklim global kini dalam keadaan darurat. Bumi sedang diasak melepasi hadnya. Setiap petunjuk utama iklim kini berada pada tahap amaran merah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tempoh panas berulang selama lebih satu dekad bukan lagi kebetulan.

"Manusia baru sahaja melalui 11 tahun paling panas dalam rekod. Apabila sejarah berulang sebanyak 11 kali, ia bukan lagi kebetulan. Ia adalah satu seruan untuk bertindak,” ujarnya lagi.

Ketidakseimbangan Tenaga Bumi Meningkat

Buat pertama kali, laporan iklim WMO turut memasukkan data mengenai ketidakseimbangan tenaga Bumi, iaitu kadar tenaga yang masuk dan keluar daripada sistem Bumi.

Dalam keadaan iklim stabil, tenaga yang diterima daripada Matahari sepatutnya seimbang dengan tenaga yang keluar semula.

Namun, peningkatan gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana dan nitrus oksida telah mengganggu keseimbangan ini.

WMO memaklumkan kepekatan gas tersebut kini berada pada paras tertinggi sekurang-kurangnya dalam tempoh 800,000 tahun.

“Ketidakseimbangan tenaga Bumi juga meningkat sejak rekod pemerhatian bermula pada 1960, terutamanya dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini,” kata WMO.

Haba Laut Catat Rekod Baharu

Ketua WMO, Celeste Saulo berkata, kemajuan sains telah membantu meningkatkan pemahaman mengenai ketidakseimbangan tenaga dan kesannya terhadap iklim.

“Aktiviti manusia semakin mengganggu keseimbangan semula jadi dan kita akan hidup dengan kesan ini selama ratusan hingga ribuan tahun,” jelasnya.

Menurut laporan itu, lebih 91 peratus haba berlebihan disimpan di dalam lautan.

Kandungan haba laut turut mencatatkan paras tertinggi baharu pada 2025, dengan kadar pemanasan meningkat lebih dua kali ganda antara tempoh 1960 hingga 2025 berbanding 2005 hingga 2025.

Pemanasan lautan memberi kesan meluas, termasuk kemerosotan ekosistem marin, kehilangan biodiversiti dan pengurangan keupayaan lautan menyerap karbon.

Selain itu, pemanasan laut turut meningkatkan kekuatan ribut tropika dan subtropika, serta mempercepatkan kehilangan ais laut di kawasan kutub.

Lapisan ais di Antartika dan Greenland dilaporkan kehilangan sejumlah besar jisim, manakala keluasan purata ais laut Artik pada 2025 direkodkan sebagai terendah atau kedua terendah dalam era satelit.

Paras purata laut global pada tahun lalu juga meningkat kira-kira 11 sentimeter lebih tinggi berbanding rekod awal altimetri satelit pada 1993.

WMO menjangkakan pemasanan laut dan peningkatan paras laut akan berterusan selama berabad-abad.

Berita lanjut menyusul.