
GENEVA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenal pasti 214 syarikat dari 11 negara yang terlibat dalam aktiviti perniagaan tertentu berkaitan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Pangkalan data yang dikemas kini dan diterbitkan pada Isnin itu turut menyenaraikan 61 syarikat baharu, manakala lima syarikat dikeluarkan selepas didapati tidak lagi menjalankan aktiviti yang termasuk dalam mandat berkenaan.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) berkata, pangkalan data itu pertama kali diterbitkan pada 2020 berdasarkan mandat Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Ia meneliti penglibatan syarikat dalam beberapa aktiviti perniagaan tertentu yang mempunyai kaitan dengan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Syarikat yang disenaraikan dalam kemas kini terbaru itu beroperasi dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pengangkutan dan penyimpanan, pengurusan sisa, tenaga, makanan serta hospitaliti.
OHCHR berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai 596 syarikat susulan seruan awam untuk mengemukakan maklumat pada 2024.
Daripada jumlah itu, penilaian terhadap 215 syarikat diselesaikan pada tahun lalu, manakala 126 lagi dinilai dalam tempoh pelaporan terbaru.
Semakan terhadap beberapa syarikat lain masih dijalankan.
Disebabkan kekangan sumber, penilaian terbaharu itu memberi tumpuan khusus kepada kesan aktiviti perniagaan berkaitan penempatan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, dan bukannya menilai kemungkinan kesannya terhadap keseluruhan aspek hak asasi manusia.
Pejabat PBB itu menilai penglibatan syarikat berdasarkan tiga kategori yang digariskan dalam Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, iaitu sama ada sesebuah syarikat menyebabkan kesan buruk, menyumbang kepada kesan berkenaan atau mempunyai kaitan langsung dengannya melalui operasi, produk, perkhidmatan atau hubungan perniagaan.
Daripada 214 syarikat yang disenaraikan, OHCHR menilai 200 syarikat sebagai menyumbang kepada kesan buruk terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, manakala 14 lagi mempunyai kaitan langsung dengan kesan berkenaan.
OHCHR tidak membuat kesimpulan bahawa mana-mana syarikat terbabit menjadi punca langsung kepada kesan buruk itu.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, berkata kemas kini berkenaan mengingatkan syarikat mengenai tanggungjawab mereka berdasarkan piawaian antarabangsa, termasuk keperluan menjalankan usaha wajar berkaitan hak asasi manusia dan mengambil tindakan sewajarnya apabila aktiviti mereka menyumbang kepada atau mempunyai kaitan dengan kesan buruk.
Penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.- AGENSI
The post PBB kenal pasti 214 syarikat berkait penempatan haram Israel appeared first on Utusan Malaysia.




