PBB puji peranan ASEAN satukan dunia yang kini berpecah belah

7 Sep 2023 • 6:53 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

JAKARTA, 7 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memuji peranan ASEAN sebagai fakor penting dalam menyatukan dunia yang kini berpecah belah.

“Saya memuji ASEAN dan negara anggota ASEAN atas peranan penting mereka dalam membina jambatan persefahaman.

“ASEAN telah menjadi faktor penting untuk perpaduan dalam dunia yang berpecah belah,” kata Setiausaha Agung Guterres pada sidang media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, pada Khamis, lapor Agensi Berita ANTARA.

Guterres bimbang dengan dunia yang dianggapnya semakin berdepan ancaman disebabkan oleh krisis, perubahan iklim, peperangan, konflik, kemiskinan dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

“Justeru, kita perlukan kerjasama dari semua sudut,” katanya.

Beliau berkata ASEAN perlu berperanan sebagai sebuah institusi pelbagai hala yang boleh merapatkan perbezaan dan membina persefahaman.

“Dalam dunia yang kian mencabar, kita mahukan lebih berbanding sebelum ini dan memerlukan institusi pelbagai hala yang kukuh – berdasarkan ekuiti, solidariti dan kesejagatan,” kata Guterres.

Setiausaha Agung PBB itu turut memuji moto kebangsaan Indonesia iaitu “Bhinneka Tunggal Ika” yang dianggapnya semakin relevan dalam situasi dunia semasa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 5,000 pasukan pengaman dari Indonesia dan negara anggota ASEAN lain yang berkhidmat di seluruh dunia.

Selain itu, Guterres turut memuji peranan konstruktif ASEAN dalam bidang keamanan, khususnya dalam usaha meredakan ketegangan dari Laut China Selatan hingga ke Semenanjung Korea dengan mengutamakan dialog dan menggalakkan undang-undang antarabangsa dihormati.

– BERNAMA-ANTARA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved