PBN, PBT Perlu Percepat Tempoh Kelulusan Pembangunan, Permudah Urusan Perniagaan - Anwar

LocalPolitics
18 Apr 2023 • 12:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan, sekali gus memudahkan urusan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah antara beberapa kata sepakat dicapai hasil perbincangan tuntas di antara pihak berkepentingan, termasuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang berlangsung semalam.

“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan, selain meningkatkan daya saing negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian, terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.

‘Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian.

“MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam,” katanya.

Anwar berkata, Prosedur OSC 3.0 Plus juga ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang 19 agensi sebelum ini.

Manakala, katanya, tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari.

Ujarnya, MPFN turut cakna dengan isu banjir kilat yang sering meresahkan rakyat.

“Maka, dalam hal ini, Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan, sebagai satu daripada solusi menangani isu banjir kilat.

“MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran berdaya huni,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

“(Ia) demi mencapai agenda membangun negara Madani. Insya Allah,” katanya. – Getaran, 18 April 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved