PBPM mohon elaun bulanan untuk bekas polis tak berpencen

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 6:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PBPM mohon elaun bulanan untuk bekas polis tak berpencen

PBPM mohon kerajaan beri elaun bulanan kepada 40,000 bekas anggota polis tidak berpencen sebagai pengiktirafan jasa zaman darurat.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun sara hidup bulanan kepada bekas anggota polis yang tidak menerima pencen sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Presiden PBPM Mokhtar Omar berkata berdasarkan rekod persatuan sejak 1972, kira-kira 40,000 daripada 86,000 ahli berdaftar adalah bekas anggota polis tidak berpencen, termasuk mereka yang pernah berkhidmat dalam Skuad Khas, Pengawal Rumah dan inspektor kontrak ketika zaman darurat.

Beliau berkata golongan itu perlu diberi perhatian sewajarnya kerana sebahagian daripada mereka berdepan peningkatan kos sara hidup selepas tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap.

“Mereka ini pernah berkhidmat pada zaman darurat dan membantu menjaga keselamatan negara, tidak ramai lagi yang tinggal dan kerajaan tidak terlalu terbeban sekiranya kebajikan mereka diberi perhatian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mokhtar berkata persatuan itu turut mencadangkan supaya penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) diberikan elaun khas bulanan antara RM300 dan RM500 sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka.

Selain itu, beliau berkata Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) perlu dikaji semula bagi memastikan kadar bantuan dan skop kebajikannya dapat dipertingkatkan termasuk bantuan pendidikan, kesihatan dan bencana supaya memberi manfaat lebih besar kepada anggota serta keluarga yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBPM Datuk Dr Basant Singh Sidhu berkata pihaknya akan menganjurkan Program Jualan Meja Makan Malam pada Oktober ini sebagai usaha membantu bekas anggota polis.

Beliau berkata program itu menyasarkan kutipan RM1 juta melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk sektor korporat, syarikat multinasional, badan swasta dan individu yang prihatin terhadap kebajikan bekas anggota polis.

“Hasil kutipan ini akan digunakan untuk ahli persatuan yang memerlukan seperti pembelian peralatan kesihatan, kerusi roda, susu, alat pendengaran dan pelbagai keperluan lain,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved