PBT diarah siasat isu caj parkir RM183 di Pasar Borong Melaka

16 Mar 2026 • 3:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tular perkongsian seorang wanita yang mendakwa dikenakan caj parkir berkenaan melalui transaksi menggunakan kad ATM miliknya di kawasan parkir Pasar Borong Melaka.

MELAKA - Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir mencecah RM183 di Pasar Borong Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat awal daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejurus isu berkenaan tular pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku kesilapan pada sistem parkir yang dikendalikan oleh pihak operator yang dilantik.

“MPHTJ sedang meneliti kes ini dan berkemungkinan berlaku kesilapan pada sistem parkir yang diuruskan oleh pihak operator berkenaan.

“Sekiranya siasatan mendapati berlaku kesilapan, bayaran tersebut sudah tentu akan dipulangkan semula kepada individu terlibat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Glam Bazar Ramadan Klebang 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Klebang di sini pada malam Ahad.

Pada Ahad, tular perkongsian pengadu, seorang wanita yang mendakwa dikenakan caj parkir berkenaan melalui transaksi menggunakan kad ATM miliknya di kawasan parkir Pasar Borong Melaka.

Wanita itu mendakwa beberapa kes serupa pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masalah pada sistem parkir di kawasan berkenaan.

Rais berkata, kejadian itu merupakan kes terpencil, namun kerajaan negeri tetap memandang serius aduan tersebut bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya difahamkan ada beberapa kes sama pernah berlaku sebelum ini, namun kita akan pastikan ia diselesaikan dengan baik.

“Secara logiknya caj RM183 memang tidak munasabah, jadi kita akan pastikan perkara ini diteliti dan diperbetulkan,” tegasnya lagi.

 

 

View Original Article