PD First: Antara Dasar dan Pelaksanaan

LocalHealth & Fitness
13 Mar 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Gambaran proses rawatan peritoneal dialysis. Sumber: Yayasan Buah Pinggang Malaysia / National Kidney Foundation Malaysia.

HAMPIR 56,000 rakyat Malaysia direkodkan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (End-Stage Kidney Disease, ESKD), iaitu keadaan fungsi buah pinggang merosot ke tahap kritikal. Menjelang tahun 2040, jumlah pesakit dijangka meningkat hampir dua kali ganda kepada 106,000 orang, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara.

Pesakit ESKD lazimnya bergantung kepada terapi penggantian ginjal (Renal Replacement Therapy, RRT) untuk menangani penyakit kronik ini. Selain pemindahan buah pinggang yang kekal terhad akibat kekurangan penderma, dua kaedah rawatan utama lain adalah hemodialisis (HD) dan dialisis peritoneal (PD).

Rawatan HD biasanya dijalankan di pusat dialisis dengan pesakit perlu hadir beberapa kali seminggu untuk sesi rawatan yang memakan masa beberapa jam. PD pula dijalankan di rumah, menggunakan lapisan peritoneal dalam abdomen sebagai penapis semula jadi badan.

Bagi kebanyakan pesakit, keperluan rawatan ini memberi perubahan besar dalam rutin harian.

Dasar dan jurang pelaksanaan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menerajui dasar PD First yang mana pesakit memulakan PD sebagai rawatan pertama, melainkan dianggap tidak sesuai berdasarkan penilaian doktor pakar.

Menurut Galen Center for Health and Social Policy, antara kelebihan dasar PD First ialah kebergantungan rendah kepada infrastruktur berasaskan pusat dialisis dan kebolehskalaan akses kepada kawasan luar bandar.

Bekalan PD dihantar terus ke rumah pesakit untuk mengendalikan rawatan di rumah. Oleh itu, pesakit tidak perlu ke pusat dialisis yang terletak jauh di bandar, sekaligus memberi fleksibiliti kepada mereka untuk menjalankan rutin seharian dan bekerja.

Kajian klinikal menunjukkan perbezaan ketara dalam kalangan pesakit PD dari aspek fungsi ginjal sisa, beban kardiovaskular, dan profil jangkitan. Faktor-faktor ini menjadi pertimbangan penting dalam menetapkan rawatan RRT yang sesuai untuk pesakit, di samping konteks klinikal individu yang lain.

Kini, KKM bersama agensi lain seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membiayai program yang menyediakan akses kepada dialisis peritoneal ambulatori berterusan (CAPD) dan dialisis peritoneal automatik (APD) bagi pesakit yang layak. Seperti semua terapi penggantian ginjal, kesesuaian pesakit untuk menjalani PD ditentukan melalui penilaian klinikal oleh doktor pakar yang merawat.

Walau bagaimanapun, laporan 31st Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry (MDTR) 2023 menunjukkan gambaran bercanggah dengan hasrat dasar tersebut. Meskipun PD First telah lama diperkenalkan, hanya sekitar 12 peratus pesakit sahaja menjalani dialisis di rumah, manakala selebihnya masih bergantung kepada HD.

**media[3461883]**

Komitmen baharu kerajaan

Pada 20 Januari 2026, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi khas Dewan Rakyat mengulangi komitmen kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan PD First. Antara langkah utama yang diumumkan ialah peningkatan peruntukan kewangan untuk PD daripada RM40 juta kepada RM100 juta pada tahun ini.

Menurut beliau, 42 peratus pesakit ESKD dalam sistem KKM kini menggunakan PD, dan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 50 peratus dalam beberapa tahun akan datang. Kerajaan turut menyatakan harapan agar sektor kesihatan swasta dapat menyokong usaha ini, memandangkan perkhidmatan PD masih belum ditawarkan secara meluas oleh fasiliti swasta.

Walaupun pengembangan program dialisis berasaskan rumah dialu-alukan, pakar berpandangan bahawa kejayaan dasar tidak bergantung kepada peruntukan semata-mata, tetapi kepada keupayaan pelaksanaan di lapangan.

Pengalaman pesakit: Keyakinan dibina melalui sokongan

Bagi sesetengah pesakit, keputusan memulakan rawatan di rumah bukanlah sesuatu yang mudah.

Oleh itu, di bawah program CAPD KKM, pesakit yang memulakan PD akan diberikan latihan untuk membiasa pesakit dengan kaedah rawatan. Jururawat PD di hospital berkenaan akan mengendalikan latihan tersebut dalam tempoh beberapa hari sehingga pesakit yakin dan patuh kepada teknik.

Selari dengan itu, pesakit juga akan hadir untuk pemeriksaan berkala bersama pakar di hospital juga. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan keadaan pesakit serta status rawatan akan dibincangkan ketika perjumpaan berkala tersebut.

Logistik dan cabaran luar bandar

Keberkesanan pelaksanaan PD First bukan hanya bergantung kepada polisi, tetapi juga kepada keupayaan sistem sokongan di lapangan, terutama penghantaran bekalan rawatan secara konsisten.

Ramai pesakit ESKD tinggal jauh daripada pusat rawatan dan hab logistik utama. Di kawasan tertentu, khususnya di pedalaman dan Malaysia Timur, akses fizikal boleh melibatkan perjalanan panjang atau laluan sungai.

Misalnya, seorang pesakit yang tinggal di Kuala Kubu Baru akan mengambil masa kira-kira 90 minit untuk berulang-alik ke hospital terdekat yang berlengkapkan pusat PD, iaitu Hospital Selayang.

Untuk mengurangkan beban pesakit, bekalan rawatan selama 30 hari dihantar terus ke rumah setiap bulan melalui rakan logistik yang dilantik kerajaan, dengan penyelarasan dibuat melalui aplikasi dan emel. Pematuhan kepada jadual penghantaran ini sehingga kini tidak pernah terjejas, sekali gus membuktikan kebolehpercayaan sistem penghataran sedia ada.

Peranan infrastruktur digital

Selain logistik, pelaksanaan PD First turut menuntut penyelarasan lebih baik antara fasiliti kesihatan dan komuniti pesakit, terutama di kawasan luar bandar.

Justeru penambahbaikan infrastruktur digital menjadi elemen penting. Seiring usaha KKM mendigitalkan rekod perubatan dan memperkukuh tadbir urus telekesihatan, rawatan berasaskan rumah membuka ruang untuk merangka dasar penggunaan alat digital yang selamat dan saling kendali, bagi menyokong kesinambungan perkhidmatan merentasi kawasan luas.

Daripada dasar kepada realiti

KKM mempunyai rangka dasar PD First yang berpotensi diskalakan, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang teliti di lapangan.

Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sistem penyampaian yang berdaya tahan, ketelusan pelaksanaan serta penanda aras operasi yang jelas.

Hanya melalui gabungan dasar yang tepat, sokongan logistik yang cekap dan pelaksanaan konsisten, dasar PD First dapat diterjemahkan daripada perancangan di atas kertas kepada realiti yang boleh dirasai pesakit di seluruh negara.

Sempena Hari Ginjal Sedunia, usaha memperkukuh dasar PD First diharap dapat meningkatkan kesedaran awam dan memastikan lebih ramai pesakit mendapat akses rawatan ginjal yang selamat, saksama, dan berkesan.