
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri mengarahkan pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyediakan kertas kerja bagi mengkaji semula proses penjualan tanah untuk projek yang akan dilaksana di tanah milik perbadanan itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang juga Pengerusi PDC, berkata langkah itu adalah kerana pihaknya ingin menambah baik perbadanan tersebut terutama dalam melaksanakan penjualan tanah yang dilakukan menerusi beberapa kaedah.
“Mana-mana pihak yang mahu beri cadangan untuk tambah baik kerajaan negeri atau agensi dalam kerajaan negeri, kita terima baik perkara itu termasuk bagi urusan jual beli tanah oleh PDC.
“PDC memang melaksanakan beberapa kaedah untuk urus niaga tanah sama ada melalui tender terbuka, permintaan bagi cadangan (RFP) atau rundingan terus dengan pihak berkenaan,‘’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung isu yang dibangkitkan oleh Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) berkaitan penjualan tanah di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan kepada UMECH Land Sdn Bhd (UMECH).
Chow berkata kertas kerja itu perlu disiapkan secepat mungkin agar boleh dibentang kepada Lembaga PDC dalam mesyuarat yang akan berlangsung beberapa minggu lagi dan beliau turut berterima kasih kepada pihak yang memberi cadangan untuk menambah baik prestasi kerajaan negeri atau agensi di bawahnya.
Pengerusi PCCC Datuk Seri Hong Yeam Wah, dalam sidang media berasingan, pula berkata pihaknya tidak menyasarkan mana-mana ahli politik, syarikat atau individu susulan pendedahan mengenai penjualan tanah di Byram.
Beliau berkata PCCC memberi tumpuan kepada prosedur dan proses sewajarnya berhubung penjualan tanah itu demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk PCCC telah mempersoal penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram dan susulan pelbagai isu yang timbul berhubung perkara itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan UMECH. - Bernama

