
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dalam menyiasat pembabitan sindiket dadah yang cuba menyeludup 1.16 tan ketamin menggunakan kapal tangki ke republik tersebut.
Kapal tangki menggunakan bendera Mongolia dinamakan MT Global 168 itu dikenal pasti pihak berkuasa Indonesia milik syarikat dipercayai berpangkalan di Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya dimaklumkan berhubung rampasan dadah itu oleh Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri).
Katanya, kapal sepanjang 57 meter itu dipintas dan ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara Selasa lalu.
“Pihak berkuasa menemui 58 guni mengandungi 1,160 bungkusan dadah seberat 1.16 tan. Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dalam sidang media di Pelabuhan Belawan mendedahkan nilai rampasan dadah itu dianggarkan mencecah 3.48 trilion rupiah (RM785 juta).
“Ia berpotensi merosakkan lebih 5.8 juta pengguna dadah. Susulan serbuan itu, lapan kru kapal terdiri tujuh warga Indonesia berusia antara 25 hingga 71 tahun serta seorang warga China berusia 42 tahun ditahan,” katanya.
Ujarnya, siasatan awal mendapati kapal tangki itu memulakan pelayaran dari sebuah kemudahan limbungan di Pasir Gudang, Johor, sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api.
Kapal itu kemudian itu katanya, menuju ke Laut Andaman dan dipercayai melakukan pemindahan kargo dari kapal ke kapal di perairan antarabangsa.
“Pihak berkuasa Indonesia memantau rapat pergerakan kapal berkenaan sejak Ogos lalu hasil maklumat perisikan aktiviti pengedaran dadah antarabangsa.
“Malah sindiket terbabit dikesan sengaja menukar nama kapal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Setakat ini, penyiasat Indonesia sedang meneliti pembabitan entiti korporat serta individu yang mengawal rangkaian penyeludupan berkenaan,” ujarnya.
Hussein berkata, JSJN komited terus bertukar maklumat perisikan secara aktif dengan Polri bagi mengenal pasti dalang sindiket.
“Jika ada mana-mana ahli sindiket atau rangkaian dadah di Malaysia mendalangi kes ini, mereka akan diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto, berkata kapal tangki terbabit didaftarkan atas nama syarikat beralamat di Johor Bahru dan siasatan mengenal pasti ‘Makmur Marine Petroleum’ sebagai pemilik berdaftar.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti pengurusan kapal serta kemungkinan kaitannya dengan rangkaian penyeludupan antarabangsa.
Kapal MT Global 168 yang dipasang bendera Mongolia itu ditahan bersama lapan kru termasuk tujuh warga Indonesia di perairan Tanjung Balai Asahan dalam operasi babitkan polis, Badan Narkotika Nasional (BNN) dan Jabatan Kastam Indonesia.
The post PDRM bantu Polri jejak dalang cuba seludup 1.16 tan ketamin guna kapal tangki appeared first on Kosmo Online.





