PDRM FC, Kelantan TRW didenda RM10,000 gagal kemuka dokumen lengkap FFP

LocalFootball
10 Jun 2026 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM FC, Kelantan TRW didenda RM10,000 gagal kemuka dokumen lengkap FFP
Kedua-dua kelab turut didapati mempunyai tunggakan gaji pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan setakat April lepas.

PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC masing-masing didenda RM10,000, selepas gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi penyerahan kelima In-Season Peraturan Kewangan Adil (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim 2025-2026.

Pengerusi First Instance Body (FIB) FFP MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kegagalan itu merupakan pelanggaran Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026.

Beliau berkata, kedua-dua kelab turut didapati mempunyai tunggakan gaji pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan, setakat April lepas.

"Kedua-dua kelab diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan penyerahan dokumen tertunggak serta mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung tunggakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa FIB FFP MFL menilai tahap pematuhan kewangan kelab Liga Malaysia menerusi Mesyuarat Ringkasan Penyerahan dokumentasi In-Season kelima.

Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir berkata, Kuala Lumpur City FC turut mempunyai tunggakan gaji pekerja serta tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata, KL City akan dipantau dengan lebih dekat dan diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian bagi tunggakan setakat April.

Sementara itu, enam kelab iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, DPMM FC dan Imigresen FC, didapati memenuhi sepenuhnya keperluan FFP MFL tanpa sebarang tunggakan gaji atau bayaran kepada agensi kerajaan berkaitan.

Sabah FC, Melaka FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC pula tidak mempunyai tunggakan gaji pekerja, namun masih mempunyai tunggakan kepada agensi kerajaan.

Sheikh Mohd Nasir berkata, peringatan rasmi akan dihantar kepada empat kelab berkenaan, bagi memastikan tunggakan itu diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Pelesenan Kelab dan FFP merupakan dua kerangka peraturan berbeza dari segi mekanisme, kriteria penilaian, tempoh pelaporan serta tarikh akhir penyerahan.

"Pematuhan terhadap satu kerangka tidak secara automatik dianggap sebagai pematuhan terhadap kerangka yang lain dan kelab perlu memenuhi keperluan kedua-dua proses secara berasingan,” katanya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved