PDRM kesan trend debat media sosial sebar hantaran, komen hasutan

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM kesan trend debat media sosial sebar hantaran, komen hasutan
M Kumar

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan trend perdebatan di media sosial untuk menyebarkan hantaran atau komen berbaur hasutan serta provokatif mengenai dasar kerajaan dan isu semasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perkara ini perlu dielakkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian dalam ruang siber, tapi turut mewujudkan ekosistem maya yang tidak sihat.

Menurutnya, perkara itu berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat jika tidak dibendung melalui penguatkuasaan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan yang berkencenderungan menghasut atau menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan.

"Menurut Seksyen 3(1)(a) Akta 15, sesuatu kecenderungan menghasut ialah kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mengikut statistik JSJ tahun ini setakat Mac, sebanyak 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu melakukan atau cuba melakukan apa-apa perbuatan atau perkataan yang menghasut terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan dan kerajaan.

Jelasnya, hukuman diperuntukkan bagi kesalahan ini ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.

"Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menyebarkan kenyataan berunsur penghinaan, fitnah atau provokasi yang berpotensi menggugat keharmonian, keamanan dan ketenteraman awam," ujarnya.

Tegas Kumar, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau pekhidmatan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial serta kestabilan negara," ujarnya.