KUALA LUMPUR - Polis menegaskan, siasatan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low masih diteruskan meskipun muncul laporan mendakwa dia sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan pihak polis.
“Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan. Saya melihat perkara begini agak sensitif untuk dibincangkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini pada Rabu.
Mohd Khalid berkata, pihaknya turut menjalinkan hubungan baik dengan negara berkaitan dalam usaha meneruskan siasatan.
“Kita masih lagi meneruskan tindakan seperti dahulu dan mengadakan hubungan yang baik dengan negara-negara berkaitan,
“Perkara itu masih lagi dalam perhatian dan tindakan kita,” katanya.
Pada Rabu media melaporkan Jho Low didakwa sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu berdasarkan sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Laporan itu menyebut, jika permohonan terbabit diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.






