KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sebarang penglibatan rasmi berhubung kandungan dimuat naik sebuah akaun Instagram berkaitan tawaran atau penggunaan khidmat pengiring polis bagi konvoi kenderaan mewah.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam kenyataan memaklumkan, kandungan tersebut dimuat naik oleh akaun Instagram madeinmalaysia.com.my.
"JSPT tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran, sokongan atau pengendorsan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan imej, logo atau menyerupai anggota Polis Trafik bagi tujuan promosi atau publisiti seperti dipaparkan dalam kandungan berkenaan," katanya pada Rabu.
Katanya, susulan perkara itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan identiti pasukan demi kepentingan tertentu serta menyebarkan kandungan yang mengelirukan masyarakat," katanya.
JSPT turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.
"Masyarakat diminta sentiasa mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi PDRM.
"Jangan terpedaya dengan kandungan tidak sahih, tindakan tegas akan diambil berhubung penularan maklumat palsu ini,” katanya.
