PDRM Serbu Operasi Menipu Warga Sepanyol Menggunakan AI Oleh Warga China Di Johor

LocalTechnology
23 May 2026 • 11:52 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tajuk di atas adalah panjang dan mungkin mengelirukan batu jemala anda apabila membacanya. Tetapi hakikatnya ialah operasi penipuan atas talian tahap antarabangsa kini beroperasi di Malaysia dengan mangsa pula terletak di benua berlainan. Menurut laporan The Star, operasi penipuan ini dilakukan dari sebuah banglo mewah di Gelang Patah, Iskandar Puteri dengan ia dilumpuhkan selepas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan pada 14 Mei lalu.

Image from: PDRM Serbu Operasi Menipu Warga Sepanyol Menggunakan AI Oleh Warga China Di Johor

Sasaran utama ialah mangsa di Sepanyol, menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi melakukan terjemahan untuk menyamar dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. AI telah digunakan untuk menterjemah pertuturan Bahasa Mandarin ke Inggeris, dan perbualan Bahasa Sepanyol ke Inggeris bagi melakukan penipuan.

Seramai 35 suspek warga China yang ditahan dalam serbuan bertindak sebagai agen mencari mangsa di platform atas talian. Mangsa yang dijerat ditawarkan pekerjaan tidak wujud dengan tawaran gaji lumayan melalui beberapa pakej pekerjaan palsu. Mereka yang mahukan gaji lebih tinggi dipaksa membeli pakej lebih mahal, sebelum kemudiannya ditipu sepenuhnya.

Kemajuan teknologi AI bukan sahaja menjadikan kehidupan pengguna biasa lebih mudah tetapi kini menjadi digunakan juga golongan penjenayah untuk memudahkan penipuan mereka. Sebelum ini sudah dilaporkan AI digunakan untuk mengklon suara mangsa sebelum audio palsu meminta bantuan kerana diculik dihantar pula kepada ahli keluarga. Kecerdasan yang digunakan mungkin palsu, tetapi impak ke atas masyarakat sekarang adalah cukup benar.