PDRM siasat video tular keluarga berpakaian ala diraja

LocalPolitics
16 Sep 2025 • 8:57 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung penularan sebuah video memaparkan satu keluarga berpakaian serba kuning dan bertengkolok menyerupai gaya istiadat kerabat diraja dalam satu majlis aqiqah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 memperuntukkan bahawa tiada sesiapa dibenarkan menggunakan lambang atau nama yang dilindungi tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri berkaitan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 di bawah Seksyen 5 akta yang sama.

“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur khianat yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan bahawa PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan tersebut.

Terdahulu, video berkenaan tular di media sosial apabila ia memaparkan sebuah keluarga ahli perniagaan mengenakan pakaian menyerupai busana diraja ketika majlis aqiqah anaknya, yang turut dihadiri beberapa selebriti dan pempengaruh tempatan.