PDRM sokong SKKM perkenal garis panduan INSG

LocalPolitics
10 Dec 2024 • 10:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramli

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerbitkan garis panduan keselamatan maklumat dan rangkaian untuk industri komunikasi dan multimedia (INSG).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah tersebut mampu meningkatkan keselamatan maklumat, rangkaian serta daya tahan industri tersebut di negara ini.

Beliau berkata, dalam era digital yang semakin berkembang, ancaman siber menjadi salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh semua pihak.

Kata beliau, sistem komunikasi dan rangkaian canggih memerlukan perlindungan yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat, bukan sahaja untuk kepentingan individu malah menjaga kestabilan negara secara keseluruhan.

"Garis panduan yang diperkenalkan oleh SKMM ini merupakan satu langkah yang amat penting dan wajar dipuji.

"PDRM mengakui kerjasama antara pihak berkuasa termasuk SKMM adalah kunci dalam mengurangkan risiko ancaman siber dan memelihara keselamatan maklumat yang berkaitan dengan sektor kerajaan, swasta serta komuniti rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, langkah-langkah yang diterapkan melalui garis panduan tersebut diyakini akan menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi data dan privasi, seterusnya mengurangkan kebimbangan terhadap pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin meningkat.

Sehubungan itu katanya, PDRM akan terus memberi sokongan dan bekerjasama rapat dengan SKMM dalam usaha memperkukuhkan keselamatan maklumat dan rangkaian negara.

"Pihak kami juga akan terus melaksanakan inisiatif dan latihan secara berterusan untuk memastikan pasukan PDRM sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved