‘PDRM Tak Perlu Siasat Siapa Yang Kritik Saya’ - Anwar

LocalPolitics
5 Dec 2025 • 6:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menjalankan siasatan ke atas mana-mana individu atau pihak yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melainkan jika kenyataan dibuat mengandungi elemen fitnah atau salah laku jenayah. 

Menegaskan perkara ini, Anwar berkata, arahan itu merangkumi semua bentuk kritikan politik terhadap dirinya.

Katanya, kebebasan bersuara dalam batas munasabah perlu dihormati.

"Beberapa tindakan terhadap pengkritik kerajaan, termasuk mereka yang menyerang saya, telah saya arahkan supaya tidak perlu disiasat. Saya tidak mempertikaikan niat atau motif mereka, walaupun dakwaan itu tidak berasas. 

“Namun, saya telah menetapkan bahawa tiada tindakan diambil kecuali membabitkan kesalahan jenayah yang jelas atau tuduhan melampau seperti menuduh seseorang sebagai ejen Israel atau mendakwa mereka menghidap HIV, sesuatu yang sama sekali tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Cyberjaya 10 hari ini. 

Pada waktu sama, Perdana Menteri turut menegur perbuatan segelintir pihak yang cuba menghalalkan kenyataan menghina atau tidak berasas atas alasan kritikan politik.

“Saya pelik apabila ada dalam parti Melayu dan Islam yang mengiyakan tingkah laku tersebut. Namun begitu, saya telah mengarahkan supaya apa jua kritikan terhadap Anwar, atau Perdana Menteri, tidak dijadikan asas untuk tindakan.

“Kenyataan yang hanya bersifat politik termasuk gesaan supaya Perdana Menteri meletak jawatan adalah perkara biasa. Saya tidak fikir saya atau PDRM perlu melayan tuntutan sedemikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kepimpinan Sabah bagi memastikan pembangunan negeri itu lebih menyeluruh, inklusif dan mampan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerjasama kukuh antara kerajaan pusat dan negeri penting untuk menangani keutamaan strategik seperti infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri itu.

“Pejabat Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Hajiji Noor atas pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu.

“Pembentukan barisan kepimpinan ini mencerminkan kematangan politik, perpaduan serta kesungguhan untuk memacu agenda pembangunan Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam taklimat harian JPM.

Jelas Tunku Nashrul, kesepaduan dan ketelitian Kabinet baharu ini dijangka dapat mengukuhkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri serta memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.

Beliau menerusi taklimat itu turut mengesahkan bahawa Anwar dijadualkan berada di Sabah esok bagi menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Selain bertemu rakyat, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan barisan Kabinet Sabah yang baharu,” katanya. - Getaran, 5 Disember 2025