
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan dan 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Seramai 120 orang ditahan sejak 28 Mac hingga 9 April April lalu kerana kesalahan melanggar syarat tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3,389,180," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan sedang giat dilaksanakan oleh jentera PDRM di seluruh negara termasuk penjualan secara atas talian melalui platform media sosial serta e-dagang.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram. Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya.
