PDRM tubuh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar

5 Aug 2022 • 3:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sebanyak 50 jawatan baharu diluluskan pada Julai lepas bagi menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi memerangi aktiviti penyeludupan hidupan liar dan memelihara khazanah flora fauna, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata unit WCB akan distrukturkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman bagi membolehkan setiap siasatan jenayah hidupan liar diselia secara komprehensif.

“Lima puluh jawatan ini akan diwujudkan secepat mungkin dari segi mengenal pasti pegawai dan anggota yang terlibat dalam menganggotai WCB.

“Saya percaya dengan penubuhan unit WCB ini akan memberi impak lebih berkesan dalam usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan melibatkan spesies dilindungi dan terancam,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Op Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 11 Bil.2/2022 di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim serta Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Zazuli Johan.

Acryl Sani berkata mesyuarat itu antara lain memuktamadkan tiga prosedur operasi standard (SOP) berbeza dalam memerangi jenayah hidupan liar di Semenanjung, Sabah serta Sarawak, dan SOP tersebut akan diselaraskan mengikut akta atau ordinan diperuntukkan di ketiga-tiga entiti terbabit berkuat kuasa, pada Khamis.

Beliau berkata OBK terus menghasilkan impak positif terhadap pemuliharaan flora dan fauna negara menerusi beberapa kejayaan rampasan dan tangkapan sejak operasi itu ditubuhkan pada 3 September 2019 dengan kerjasama agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan berkaitan.

Setakat Julai tahun ini, Acryl Sani berkata sebanyak RM3.8 juta jumlah rampasan direkodkan melibatkan 60 kes jenayah hidupan liar dengan 97 tangkapan, satu peningkatan ketara berbanding RM537,490 nilai rampasan melibatkan 30 kes dan 29 tangkapan, tempoh sama tahun lepas.

PDRM akan terus komited mendukung matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda 2030 ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara, katanya.

Sementara itu, Zazuli berkata JKDM berjaya merampas pelbagai spesies hidupan liar bernilai RM112 juta bagi tempoh pelaksanaan OBK bermula 2019 hingga tahun lepas.

“Sebanyak lebih 65 tan kayu Red Sanders dan lebih enam tan sisik tenggiling dirampas serta diserahkan kepada pihak berkuasa pengurusan bagi tujuan pelupusan.

“JKDM juga berjaya menyelamatkan pelbagai hidupan antaranya 4,500 burung murai kampung di kawasan pesisir pantai Johor bagi pasaran gelap Indonesia dan lebih 6,000 kura-kura pelbagai jenis dibawa masuk penumpang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang kebanyakan bagi pasaran gelap China,” katanya.

Pada 12 Julai lepas, Zazuli berkata JKDM merampas sejumlah besar gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling dan beberapa item lain bernilai RM73 juta.

Bagi Perhilitan, Abdul Kadir berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan khazanah negara terutama hidupan liar terus terpelihara menerusi penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 (Akta 716) mulai tahun ini.

Pindaan akta diluluskan di Parlimen pada Disember 2021 dan diwartakan pada Februari lepas itu antara lain meningkatkan kadar denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai tindakan pencegahan bagi menangani jenayah hidupan liar, katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.