PDRM umum pertukaran 26 pegawai kanan termasuk Ketua Polis Perlis

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM umum pertukaran 26 pegawai kanan termasuk Ketua Polis Perlis
Muhammad Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu mengumumkan pertukaran 26 pegawai kanan, melibatkan pelbagai jawatan di Bukit Aman dan kontinjen.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata, antara pertukaran utama ialah Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Datuk Muhammad Abdul Halim, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Beliau berkata, Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Taufik Toh Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dengan memangku pangkat CP.

"Pertukaran turut melibatkan Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohamad Farouk Eshak, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Turut diumumkan pelantikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Azhar Hamin sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat DCP.

Mohamad Noor berkata pertukaran turut melibatkan Penolong Pengarah E4A Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisoner Roslan Alias yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Beliau berkata, Senior Asisten Komisioner Lim San Aik yang kini Ketua JSJ Sarawak, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, manakala Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Md Alib dilantik sebagai Penolong Pengarah E1A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Pertukaran juga melibatkan Pegawai Turus E6A2 Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Ooi Yueh Kooi yang dilantik sebagai Penolong Pengarah E7A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC, manakala ACP Urus Setia Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang dengan memangku pangkat SAC.

"Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin, dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perak dengan memangku pangkat SAC.

"ACP Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Pentadbiran) Bukit Aman, Asisten Komisioner Dr Mazlan Ismail pula dilantik sebagai SAC Dasar Strategik Polis DDRM di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Mohamad Noor berkata, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC. 

Sementara itu, Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor dengan memangku pangkat SAC, manakala Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Haslah Bachok dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Penolong Pengarah (D9) Siasatan JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Hafiz Ya'acob pula dilantik sebagai Ketua JSJ Sabah, manakala Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilantik sebagai Ketua JSJ Sarawak, kedua-duanya memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dilantik sebagai Ketua JSJ Kuala Lumpur, manakala Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, Asisten Komisioner Mohammad Hisham Mohamad Idris dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Aduan) Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, kedua-duanya turut memangku pangkat SAC.

Selain itu, Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Kelantan, Asisten Komisioner Jalaludin Ahamad Zanuddin dilantik sebagai Penolong Pengarah E4A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Mohamad Noor berkata, semua pertukaran berkuat kuasa 1 September ini, kecuali melibatkan Muhammad dan Roslan yang berkuat kuasa pada Isnin. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved