Pecah Amanah RM5 Juta: Peguam ‘Kotak Pensel’ Wakili Pegawai Kanan ATM

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 10:50 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Peguam terkenal dengan jolokan ‘kotak pensel’, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi mewakili Pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) tiga tahun lalu.

image is not available

Foto arkib: Facebook Ahmad Zaharil Muhaiyar

Menurut laporan BH Online, Ahmad Zaharil memohon agar kadar jaminan anak guamnnya yang berjumlah RM300,000 dikurangkan kepada RM70,000.

“Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan) serta tidak membantah syarat untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh yang juga Ketua Staf Markas Angkatan Bersama diikat jamin dengan seorang penjamin sebanyak RM100,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Mac depan.

image is not available

Foto: NSTP/Asyraf Hamzah

Berdasarkan pertuduhan, Mohamed Fauzi yang memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta TKAT berjumlah RM5 juta.

Dakwaan itu melibatkan pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kuala Lumpur pada 27 November 2023.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda.

Sumber: BH Online (Nuratikah Athilya Hassan)

The post Pecah Amanah RM5 Juta: Peguam ‘Kotak Pensel’ Wakili Pegawai Kanan ATM appeared first on Borak Daily.