
Pecca sasar segmen penerbangan sumbang 15% daripada pendapatan dalam tempoh lima tahun
diyana
08/12/2023 - 11:38
KUALA LUMPUR 8 Dis - Pecca Group Berhad menyasarkan segmen penerbangan menyumbang 15% daripada pendapatan kumpulan dalam tempoh lima tahun.
Susulan nilai permodalan pasarannya mencecah RM1 bilion di Bursa Malaysia, pembuat upholsteri automotif itu berkata ia sedang memberi tumpuan kepada segmen penerbangannya untuk membuka fasa pertumbuhan seterusnya.
Pecca telah menerima tempahan pertamanya untuk menyediakan pesawat penumpang Airbus A320 yang berdaftar di Eropah dengan 180 tempat duduk.
Pengarah Urusan Pecca, Datuk Kelvin Teoh Hwa Cheng berkata sijil daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) yang diterima pada awal tahun ini membuka peluang kepada kumpulan.
"Kami kini mampu memberi perkhidmatan kepada industri penerbangan lebih luas, pasaran yang merangkumi syarikat penerbangan komersial, pemberi pajakan dan pelabur pesawat, serta ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).

"Industri penerbangan adalah industri yang dikawal selia ketat dengan permintaan yang teliti terhadap kualiti, piawaian dan masa pemulihan, yang bermakna kami mungkin boleh memperoleh margin keuntungan lebih tinggi daripada segmen perniagaan ini," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Kelvin berkata kumpulan itu kini memberi tumpuan untuk membina pangkalan pelanggan yang kukuh dan stabil dengan bantuan dua rakan kongsi, iaitu Global Component Asia Sdn Bhd dan Aero Cabin Solutions, yang mempunyai keupayaan dan rangkaian mantap dalam pasaran penerbangan.
Beliau menambah bahawa Pecca akan meningkatkan aktiviti pemasaran dan usaha untuk mendapatkan kelulusan dengan lebih banyak pihak berkuasa penerbangan global.
Menurut beliau, perancangan semasa kumpulan itu menunjukkan anggaran dua kali ganda hasil untuk segmen penerbangan pada tahun kewangan 2024 (FY24).
"Kami menjangkakan untuk memperoleh momentum selanjutnya apabila kami membangunkan kesedaran, penjenamaan, kredibiliti dan keyakinan dengan peserta penerbangan," tambahnya.
Pada pukul 11:35 pagi ini, saham Pecca telah menokok 1 sen atau 0.8% kepada RM1.35 dengan permodalan pasaran berjumlah lebih RM1 bilion. Setakat tahun ini, sahamnya telah meningkat 63.6% daripada 82.5 sen. - DagangNews.com

