Pegangan 50% PSC Samarang diformalkan

13 Apr 2023 • 3:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SABAH memformalkan pemerolehan 50 peratus pegangan saham dalam PSC Samarang dengan memeterai perjanjian muktamad dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) pada 4 April.

Ini susulan penandatangan Perjanjian Induk (HoA) antara SMJ Sdn Bhd (SMJSB) milik Kerajaan Negeri (SMJSB) dan PCSB pada 22 Feb di Kuala Lumpur, disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Syarat-syarat Perjanjian Operasi Bersama (JOA) juga telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. PCSB akan terus mengendalikan PSC Samarang, dengan SMJSB berkhidmat sebagai rakan kongsi bukan operasi.

Ketua Menteri memuji semua pihak kerana mempercepatkan pemeteraian perjanjian ini, menambah Sabah akan mengusahakan perjanjian dan penyertaan lanjut dalam industri minyak dan gas negeri.

PSC Samarang mempunyai tujuh medan pengeluaran minyak dan gas sedia ada, iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West dan Kinarut, dengan dua terminal penerima gas di Kota Kinabalu dan Labuan.

PCSB ialah pengendali dan kini memegang 100 peratus pegangan saham di bawah PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan PSC dengan Petronas pada 2018 untuk melanjutkan operasi PSC sehingga 31 Dis 2035.

SMJSB akan menerima 50 peratus kelayakan rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas sebanyak kira-kira 36,000 tong minyak sehari (kboe/d).

Pemerolehan ini adalah perkembangan kedua penting antara PCSB dan SMJSB berikutan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Sabah pada 7 Dis 2021.

Pada 9 Jan 2023, SMJSB menandatangani HoA dengan Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) untuk pemerolehan 25 peratus saham dalam loji petrokimia Amonia Urea (Samur) Sabah.

SMJSB juga menandatangani perjanjian Surat Persefahaman (LoU) untuk opsyen back-in bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Blok SB409 yang memberikan entiti milik Kerajaan itu sehingga 20 peratus pegangan saham setelah selesainya komitmen kerja atau penemuan komersial, yang mana lebih awal.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.