
KENINGAU: Seorang penjawat awam berumur 34 tahun dibebaskan daripada dua pertuduhan memiliki 34.4 gram syabu dan sepucuk pistol tiruan.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Brahim melepas dan membebaskan Norshamezi Norisham selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Norshamezi.
Bagi pertuduhan pertama, Norshamezi yang juga pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) didakwa memiliki dadah itu pada jam 9.15 malam 1 April 2020 di hadapan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 39A(2(r) Akta Dadah Berbahaya itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membawa pistol itu pada hari sama di simpang ke pejabat AADK Keningau.
Kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau didenda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali. Tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith menjalankan pendakwaan manakala peguam Luke Ressa Balang mewakili Norshamezi.
Mahkamah memerintahkan wang ikat jamin dikembalikan kepada Norshamezi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
