Pegawai AADK Bera didapati cuai, tidak patuh SOP semasa serbuan – EAIC

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 4:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pegawai AADK Bera didapati cuai, tidak patuh SOP semasa serbuan – EAIC

PUTRAJAYA: Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bera didapati cuai dalam pengendalian taktikal serbuan semasa Operasi Pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) pada 13 Oktober 2025 di Bera, Pahang.

Kesalahan itu adalah hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)  berhubung aduan mengenai dakwaan tindakan kekerasan dan salah laku oleh pegawai berkenaan.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah melengkapkan siasatan di bawah subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Katanya, siasatan turut mendapati berlaku ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa serbuan oleh Pasukan Operasi AADK Bera sehingga mencetuskan keadaan panik dan pergelutan yang mengakibatkan kecederaan kepada orang awam atau pihak ketiga di lokasi serbuan.

“Berlaku ketidakpatuhan terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) BAB 02/2025 (Pindaan 2026) melibatkan kegagalan membuat catatan insiden pergelutan atau kecederaan dalam Buku Catatan (Pocket Book).

“Ini termasuk kegagalan pengawasan dan pelaksanaan rakaman gambar sepanjang operasi dijalankan,” katanya hari ini.

EAIC berkata, bagaimanapun dakwaan berkenaan wujudnya unsur ugutan oleh pegawai AADK Bera berhubung larangan mendedahkan kejadian kepada pihak luar adalah tidak dapat disahkan.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 246] terhadap pegawai-pegawai yang terlibat atas kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas dan ingkar perintah.

EAIC turut mengesyorkan kepada AADK untuk mewujudkan Garis Panduan Berkenaan Pertimbangan Tahap Risiko (Risk Assessment) Semasa Operasi dan mengemas kini PTKP BAB 02/2025 (Pindaan 2026).

“Ia berkaitan tatacara pengenalan diri, pencahayaan di lokasi serbuan serta merekodkan sebarang kecederaan dalam Buku Catatan (Pocket Book);

“AADK disyorkan untuk memastikan pembekalan dan penyelenggaraan Buku Catatan (Pocket Book) diwajibkan kepada semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan di lapangan tanpa pengecualian,” katanya.

Pada masa sama, EAIC mengesyorkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan kepada Dasar Pembekalan Serta Perolehan Kamera Badan (Body Camera) khusus untuk pegawai dan anggota penguat kuasa AADK yang menjalankan operasi di lapangan.

EAIC kekal komited dalam memastikan tahap integriti dan profesionalisme agensi penguatkuasaan seliaan sentiasa diperkasakan demi kepentingan awam. – UTUSAN

 

The post Pegawai AADK Bera didapati cuai, tidak patuh SOP semasa serbuan – EAIC appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved