
SHAH ALAM - Seorang pegawai bank didenda RM32,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku atas lima pertuduhan pilihan menerima rasuah lebih RM20,000 lima tahun lalu.
Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud memerintahkan Low Kah Sing, 37, dihukum penjara selama 32 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut semua pertuduhan, wanita berkenaan ketika kejadian berkhidmat di sebuah bank, secara rasuah menerima wang berjumlah RM22,404.50 di akaun miliknya, menerusi lima transaksi daripada akaun seorang individu.
Wang berkenaan merupakan balasan mencadangkan sebuah firma guaman sebagai penyedia bagi dokumen Perjanjian Pembiayaan Islamic Banking Facilities beberapa pelanggan antara Julai 2020 hingga Januari 2021.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Mohamad Riduwan Mohammad Razi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

