Pegawai Daerah mesti dengar keluhan rakyat, kata Hajiji

LocalPolitics
12 Sep 2025 • 3:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan pegawai daerah (DO) agar mendengar keluhan rakyat dan memastikan pelaksanaan dasar kerajaan bukan sekadar sampai kepada sasaran, sebaliknya memberi impak langsung kepada kehidupan mereka.

Beliau berkata pegawai daerah dan penolong pegawai daerah adalah pemimpin akar umbi yang menjadi penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat, justeru mereka perlu proaktif, telus dan dekat dengan masyarakat agar setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya mahu pegawai daerah bukan sekadar menjaga amanah tetapi memastikan setiap projek pembangunan sampai kepada rakyat dengan penuh integriti dan ketelusan.

“Permudahkan urusan rakyat dan hentikan kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan pembangunan daerah,” katanya berucap merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 di sini, Khamis.

Beliau berkata integriti, profesionalisme dan kecekapan pentadbiran daerah menjadi kunci utama bagi memastikan dasar kerajaan negeri benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat serta menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut mengingatkan pegawai daerah supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi keadaan cuaca tidak menentu, termasuk memastikan aset dan peralatan penyelamat berada dalam keadaan baik.

Mengulas pencapaian kerajaan negeri, Hajiji berkata Sabah kini berada pada landasan kukuh menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0, termasuk kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar.

Beliau berkata antara inisiatif utama ialah pembinaan Rumah Mesra SMJ, dengan 7,482 unit diluluskan sejak 2022 hingga 2025 dan 4,540 unit telah siap dibina hingga Ogos lepas.

Hajiji juga berharap persidangan tersebut dapat melahirkan resolusi yang praktikal untuk dilaksanakan selaras dengan tema ‘Daerah Maju, Rakyat Sejahtera’ sekali gus merealisasikan aspirasi SMJ.