
Pegawai Disyaki Terlibat Penyeludupan, ATM Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan beberapa orang pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah, rokok serta barang-barang lain.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar memaklumkan bahawa perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan pihak ATM tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana warganya yang terbabit. Tindakan disiplin yang tegas serta tindakan undang-undang akan dikenakan jika terbukti bersalah,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook.
Beliau juga menggesa masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Segala perkembangan berkaitan hasil siasatan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.
Sumber: Angkatan Tentera Malaysia
The post Pegawai Disyaki Terlibat Penyeludupan, ATM Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM appeared first on Siakap Keli.

